Kolar satelit untuk kekal populasi monyet belanda

Kolar satelit untuk kekal populasi monyet belanda

KOTA BELUD, 26 Okt (Bernama) – Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) dan Pusat Luar Danau Girang (DGFC) sedang bekerjasama untuk menangkap dua monyet belanda (proboscis monkeys) untuk dipasang kolar satelit di bawah program melindungi populasi haiwan itu.

Usaha itu dijalankan dekat Kota Belud, di Sungai Tempasuk, pantai barat Sabah.

Pengarah DGFC Dr Benoit Gossens berkata selepas memasang kolar pada 11 monyet belanda di Kinabatangan antara 2011 dan 2014, SWD dan DGFC berusaha memasang kolar satelit pada dua monyet jantan di kawasan itu yang dilitupi hutan tebal pesisiran sungai bermutu tinggi, di pantai barat Sabah.

“Matlamat utama kami ialah untuk mengekalkan populasi monyet itu di Sabah.

“Untuk itu adalah penting kita memahami corak perubahan spesies itu dan faktor yang memberi impak kepada gerak geri mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PEMULIHARAAN... Petugas Unit Penyelamat Hidupan Liar Jabatan Hidupan Liar Sabah melepaskan seekor monyet belanda yang dipasang dengan kolar satelit di Sungai Tempasuk menerusi program pemuliharaan hidupan liar itu di kawasan tersebut kelmarin. – Bernama
PEMULIHARAAN… Petugas Unit Penyelamat Hidupan Liar Jabatan Hidupan Liar Sabah melepaskan seekor monyet belanda yang dipasang dengan kolar satelit di Sungai Tempasuk menerusi program pemuliharaan hidupan liar itu di kawasan tersebut kelmarin. – Bernama

Projek itu dibiayai oleh Yayasan Sime Darby (Malaysia) dan Margot Marsh Biodiversity Foundation (AS).

Gossens berkata monyet belanda tinggal kebanyakannya di kawasan paya bakau dan sepanjang sungai besar, habitat di bawah tekanan besar anthropogenik (berpunca dari aktiviti manusia) dan memerlukan perlindungan total.

Beliau berkata kebanyakan aktiviti pelancongan sekitar monyet belanda tertumpu di Kinabatangan, kecuali Teluk Klias.

“Oleh itu adalah penting kita juga menumpukan usaha konservasi di pantai Barat, dan meningkatkan perlindungan pokok bakau di sepanjang pantai, terutama sekitar Kota Belud dan Pitas,” katanya.