Kolej AS luaskan pencarian pelajar baru

Kolej AS luaskan pencarian pelajar baru

BOSTON – Apabila kemasukan para pelajar dari China semakin perlahan, sebahagian besar kolej AS kini mula meluaskankan lagi usaha pengambilan pelajar di Timur Tengah, Asia Selatan dan Amerika Latin bagi merangsang bajet yang bergantung pada yuran tusyen para pelajar antarabangsa.

Jumlah pelajar China di kolej-kolej AS meningkat daripada 62,000 orang sedekad yang lalu kepada 328,000 orang pada tahun lepas, dan mereka masih merangkumi sehingga 31 peratus kesemua pelajar antarabangsa di AS, tetapi pertumbuhan semakin perlahan. Baru-baru ini Institut Pendidikan Antarabangsa telah mengeluarkan satu data persekutuan yang menunjukkan jumlah pelajar China di kolej AS bertambah sebanyak lapan peratus pada tahun lepas, pertambahan paling sedikit sejak 2005.

Beberapa buah sekolah menghadapi kemerosotan, berpunca daripada ekomoni perlahan China dan persaingan kuat dari kolej-kolej di Australia dan negara-negara lain.

“Berdasarkan pelbagai faktor, kami telah menyaksikan pertumbuhan perlahan dalam pendaftaran warga China,” kata seorang penganalisi dari California, Todd Maurer, yang menasihati sekolah-sekolah dan syarikat-syarikat pendidikan mengenai trend di Asia.

Kolej-kolej mahukan pelajar antarabangsa sebahagian kerana mahu merangsang kepelbagaian, tetapi mereka juga membawa keistimewaan dari segi kewangan. Sebahagian besar sekolah tidak menawarkan biasiswa kepada para pelajar antarabangsa, dan mengenakan kos tusyen penuh. Kehilangan pelajar antarabangsa mungkin menjejaskan bajet kolej.

Pelajar China masih merangkumi sehingga 31 peratus kesemua pelajar antarabangsa di AS.
Pelajar China masih merangkumi sehingga 31 peratus kesemua pelajar antarabangsa di AS.

Stephen Dunnett dari pendidikan antarabangsa di Universiti Buffalo, berkata sejumlah besar kolej bimbang kerana mereka sangat bergantung pada pendapatan daripada pelajar China.

“Kolej-kolej itu akan terjejas dengan teruk jika jumlah semakin mengecil. Tidak ada pelan B,” katanya.

Buffalo merupakan antara universiti yang meluaskan lagi usahanya ke global sebagai perlindungan daripada kemungkinan kemerosotan dari China.

Pada tahun ini, Universiti Massachusetts Amherst telah membuat usaha pengambilan pelajar ke Mexico dan meningkatkan kerjanya di Singapura dan Vietnam, berbanding menghantar kakitangannya ke China pada tahun ini. Sementara Universiti Bucknell di Pennsylvania menumpukan pada India dan telah menghantar pegawai pendaftar ke Amerika Selatan buat pertama kallinya dalam tempoh sedekad.

Sementara itu, meningkatnya yuran tusyen di kolej-kolej AS telah meninggikan lagi halangan bagi sebahagian besar keluar Afrika, menurut timbalan presiden bagi hal ehwal antarabangsa, Kelechi Kalu, di Universiti California-Riverside.

“Ketika saya berada di benua itu awal musim panas, sesetengah ibu bapa dan pelajar telah memberitahu saya bahawa mereka boleh mengurangkan perbelanjaan jika pergi ke Australia atau UK,” katanya.

Pada masa ini Australia mengalami satu pertumbuhan pesat sebagai satu destinasi bagi pelajar antarabangsa, menarik kira-kira 240,000 orang pelajar ke kolej-kolej di sana pada tahun lepas, pertumbuhan tahunan sebanyak enam peratus, menurut data kebangsaan.

Negara-negara yang menunjukkan petanda positif termasuk Cuba, Nigeria dan India,yang telah menghantar 165,000 orang pelajar ke AS pada tahun lepas, naik 25 peratus pada tahun lepas. Malah para pelajar dari Nepal dan Vietnam juga dilihat menjadi kumpulan pertumbuhan pantas yang datang ke AS. Meskipun kolej-kolej kini mula meluaskan pencariannya, mereka tidak menaruh harapan mana-mana negara dapat mengatasi jumlah pelajar China.

Sebahagian besar kolej menyatakan bahawa China masih menjadi tumpuan utama dalam rancangan pengambilan pelajarnya bagi tahun-tahun mendatang. – AP

ARTIKEL YANG SAMA