Kolej IGS pesta gol

Kolej IGS pesta gol

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Kolej International Graduate Studies (IGS) kekal kebal tanpa bolos ketika mencatat kemenangan terbesarnya dalam aksi Kumpulan B Piala Universiti (Unicup) BIBD At-Tamwil 2015 malam tadi apabila membelasah Micronet International College (MIC) 8-0.

Dua jaringan pada lima minit pertama perlawanan oleh Mohd Sharifuddin bin Marji pada minit ke-3 dan Muhammad Farrizz bin Saralfari pada minit ke-5 sudah meramalkan Kolej IGS akan berpesta gol.

Sekalipun berusaha bangkit selepas itu, MIC terus gagal mencipta peluang dan hanya terhad kepada percubaan-percubaan jarak jauh yang mudah dineutralkan oleh Ron Junior Philip di gawang Kolej IGS.

Sebaliknya Kolej IGS pula berjaya menambah jaringan pada minit ke-31 dari serangan balas pantas di sebelah sayap kanan apabila Muhammad Khairul Fitri bin Zulkasi mendapati dirinya hanya berdepan 1-Lawan-1 dengan penjaga gol MIC, Mohamad Razali bin Ismail, dan dengan tenangnya merembat ke kanan gawang jauh melangkaui tangan Mohamad Razali.

Separuh masa kedua perlawanan berlangsung tanpa jaringan berjaya dihasilkan selama 20 minit sehinggalah Muhammad Farrizz menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-65 untuk Kolej IGS terus selesa mendahului 4-0.

IGS (hitam) membelasah MIC 8-0 dalam aksi Kumpulan B Unicup2015 di Stadium Hassanal Bolkiah, Gadong malam kelmarin.
IGS (hitam) membelasah MIC 8-0 dalam aksi Kumpulan B Unicup2015 di Stadium Hassanal Bolkiah, Gadong malam kelmarin.

MIC masih belum berputus asa meskipun sudah ketinggalan jauh, tetapi dibolosi tiga kali dalam tempoh empat minit iaitu pada minit ke-80, 82 dan 83 yang merubah pendahuluan Kolej IGS kepada 7-0 sudah cukup untuk memudarkan semangat para pemain MIC.

Jaringan kelima itu dijaringkan oleh Mohammad Farhan Zawawi bin Zainidi, disusuli dengan jaringan hatrik Muhammad Farrizz untuk gol keenam Kolej IGS dan kemudiannya gol ketujuh menerusi ketua pasukan, Awangku Muhammad Naqib bin Pengiran Timbang.

Awangku Muhammad Naqib masih sempat mencatat gol kedua peribadinya malam tadi apabila berjaya menjaringkan gol pada masa kecederaan, minit ke-90+1 untuk keputusan muktamad 8-0.

Kemenangan pada perlawanan ketiganya itu mengesahkan kemaraannya ke peringkat separuh akhir kejohanan ketika masih berbaki satu perlawanan lagi dengan mengumpul 9 mata maksimum dari tiga perlawanan, sementara kempen MIC berakhir dengan hanya mengumpul 4 mata dari satu menang, satu seri dan dua kalah.

Dua pasukan masih bersaing merebut satu lagi slot separuh akhir dari Kumpulan B iaitu Laksamana College of Business (Laksamana) yang menghidupkan peluang kemaraannya selepas mengejutkan Cosmopolitan College (Cosmo) 2-1 pada 30 Mei baru-baru ini untuk mengumpul 4 mata, hanya dua mata di belakang Cosmo, yang menang dua kali sebelum itu.

Laksamana (4 mata dari 3 perlawanan) dan Cosmo (6 mata dari 3 perlawanan) masing-masing masih memiliki satu perlawanan lagi iaitu Laksamana lawan KUPU SB pada petang 5 Jun, dan Cosmo lawan Kolej IGS pada malam 7 Jun.

Peluang terbaik untuk Laksamana mara ke separuh akhir adalah dengan menewaskan pasukan tercorot, KUPU SB, yang tewas ketiga-tiga perlawanannya sebelum ini sambil mengharapkan Kolej IGS walaupun sudah mara ke separuh akhir akan tetap menang ke atas Cosmo.