Kolej Sandakan bantu lahirkan belia berkemahiran

Kolej Sandakan bantu lahirkan belia berkemahiran

SANDAKAN, 4 Julai – Pembukaan Kolej Komuniti Sandakan (KKS) sejak empat tahun lalu membantu usaha melahirkan belia berkemahiran sekali gus meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing.

Pengarah KKS Jominin Goropos berkata kolej itu yang merupakan antara sembilan Kolej Komuniti diwujudkan di Sabah menawarkan dua kursus peringkat sijil iaitu Pemasangan Elektrik untuk tempoh pengajian 20 bulan serta Pelancongan dan Pengembaraan selama 16 bulan.

Katanya, dua kursus itu dipilih kerana ia memberi kemahiran kepada pelajar untuk mendapatkan pekerjaan di industri, bekerja sendiri atau melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Ini sejajar dengan usaha kerajaan bagi membantu pelajar daripada golongan kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran dan memperoleh pekerjaan untuk menjana pendapatan keluarga,” katanya kepada Bernama.

Kolej itu beroperasi dengan menyewa bangunan kedai di Bandar Labuk Jaya Batu 7 dekat sini dengan 13 kakitangan akademik dan lima petugas pentadbiran.

Jominin berkata sejajar dengan matlamat membantu pelajar mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian, subjek berkaitan keusahawanan turut dimasukkan dalam modul pembelajaran mereka.

Modul dalam kursus ditawarkan juga sentiasa disesuaikan iaitu sebagai contoh, untuk Pelancongan dan Pengembaraan, pelajar didedahkan ke lapangan untuk melihat sendiri operasi pengusaha pelancongan berasaskan aktiviti air dan darat, katanya.

Menurutnya, subjek Geografi akan ditambah dalam kursus itu pada pengambilan pelajar baharu nanti bagi menambah pengetahuan pelajar. – Bernama