Kombinasi sains moden, ilmu kuno Kamilaroi

SEAWAL abad ke-15, dunia diperkenalkan dengan penemuan saintifik astronomi teoretrikal oleh ahli astronomi seperti Galileo Galilei, Isaac Newton serta Johannes Kepler.

Sehingga kini, nama-nama tersebut diangkat sebagai bapa kepada sains moden di seluruh dunia. Sungguh pun demikian, saintis muda dari Universiti Newcastle, Australia, Karlie Noon, 27, mempunyai pandangan tersendiri.

Pada hematnya, ilmu berkaitan astronomi itu telah lama diperkenalkan oleh pengkaji falak daripada suku Orang Asli seperti di Australia ribuan tahun terdahulu. Menjadi anak jati suku Orang Asli Kamilaroi di Australia, Noon merasakan ia menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya mengembangkan ilmu kuno astronomi puak Kamilaroi ke dalam sains moden.

“Orang Asli terdahulu lebih arif mengenai fenomena alam termasuk astrologi dan mengamalkan sains setelah sekian lama, cuma ia dalam bentuk yang tidak formal. Ia hanya disampaikan secara lisan daripada satu generasi ke generasi lain. Disebabkan ilmu tersebut merupakan penemuan kuno, dunia seakan-akan memisahkan hakikat penemuan itu daripada realiti,” ujarnya kepada BBC baru-baru ini.

Noon merupakan wanita pertama suku kaum asli di New South Wales, Australia yang menerima ijazah kembar dalam bidang matematik dan fizik. Kamilaroi merupakan salah sebuah puak Orang Asli terbesar di Australia yang menetap di sekitar New South Wales hingga ke selatan Queensland. Gaya kehidupan populasi suku asli di sana lebih urban dan mengamalkan cara hidup moden.

Bulan menjadi pegangan Orang Asli terdahulu dalam menentukan pasang surut air laut.
Noon yang kini merupakan pelajar sarjana dalam bidang astronomi dan astrofizik di Universiti Kebangsaan Australia (ANU) giat menjalankan kajian-kajian saintifik berkaitan astronomi dan ilmu warisan suku asli.

Bahkan, Biro Statistik Australia menganggarkan sebanyak 31 peratus daripada populasi Orang Asli itu telah menetap di bandar-bandar besar sekitar Australia.Noon yang kini merupakan pelajar sarjana dalam bidang astronomi dan astrofizik di Universiti Kebangsaan Australia (ANU) giat menjalankan kajian-kajian saintifik berkenaan hubung kait astronomi dengan ilmu warisan suku asli itu.

Lihat sahaja ukiran tatu unik bermotifkan bintang alam semesta yang tertera pada seluruh lengan kirinya sudah cukup membuktikan betapa dalamnya minat Noon terhadap bidang astronomi. Kata gadis berambut hitam dan hijau itu, melihat galaksi, mempelajari kejadian bintang dan melihat gambaran cakerawala dengan lebih dekat memberikan kepuasan. Sungguh pun demikian, latar belakang awal pendidikan Noon tidak mudah seperti yang disangka. Pada usia lapan tahun, Noon pernah berhenti sekolah kerana kerap dibuli selain keluarga mengalami masalah kewangan.

Seronok

Namun, dua tahun kemudian Noon bangkit sambil didorong oleh kenalan neneknya yang memberikan tutor setiap minggu sehingga timbul minat dalam bidang sains dan matematik. Ia menjadi sumber inspirasi dalam hidupnya sejak usia kanak-kanak lagi sehinggalah dia ditawarkan pengajian di universiti pada umur 18 tahun.

Bagi Noon, menghubungkan sains dengan ilmu warisan suku asli merupakan kombinasi yang menyeronokkan. Katanya, dia sangat berbangga dengan kajian tersebut kerana ilmu pengetahuan suku asli merupakan sumber sains yang kompleks. “Dunia seharusnya mengiktiraf kebijaksanaan yang dimiliki Orang Asli berkenaan sejak 60,000 tahun lagi. “Selama ini hanya pengkaji Eropah sahaja yang diangkat sedangkan kami suku asli telah menemui pelbagai jenis penemuan saintifik. Kami tahu lebih awal bahawa Bumi ini rata dan ombak itu dipengaruhi oleh peredaran bulan sejak beribu tahun sebelum Galileo,” ujarnya lagi.

Pada masa lapang, Noon giat menjalankan kajian mengenai cara Orang Asli mencerap halo bulan iaitu gegelung sekeliling bulan yang terbentuk daripada kristal ais untuk meramal ribut.

Saintis semula jadi

Ia merupakan kajian yang dilakukan bersama ahli falak daripada suku kaum asli Australia, Duane Hamacher untuk melihat selok-belok teknik ramalan cuaca secara tradisional.

Pada masa sama, kajian itu juga dijalankan untuk menyelami korelasi antara teknik tersebut dengan sistem fizikal pada atmosfera rendah. Bagi projek penyelidikan peringkat sarjana pula, Noon menjalankan kajian terperinci berkaitan kepulan awan yang terdapat di bahagian luar galaksi Bima Sakti.

Noon menyifatkan Orang Asli terdahulu merupakan seorang pemerhati dan ahli falak yang mengagumkan kerana dapat mencerap dengan baik tanpa bantuan alat cerapan yang canggih. Pesan Noon kepada golongan belia daripada suku Asli ialah mereka perlu berbangga dengan sains yang telah dipupuk dalam budaya mereka selama ini. “Anda merupakan saintis semula jadi dan jangan sesekali ragu mengenainya. Ia ada di dalam diri dan budaya kamu,” tegasnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Victoria di Wellington, New Zealand, Dr. Ocean Mercier berkata, selain suku Orang Asli Kamilaroi, puak Maori dari Aotearoa, New Zealand juga memiliki pengetahuan astronomi yang terperinci. “Walaupun ilmu tersebut hanya diguna pakai dalam konteks tempatan, ia masih berupaya membezakan setiap bintang mengikut nama-nama tertentu.

“Ilmu kuno yang mencakupi pengetahuan mencari arah dan mengemudi pelayaran berpandukan bintang dipercayai tersebar oleh pelayar dari Polinesia yang berkunjung ke kepulauan Aotearoa kira-kira seabad lalu. “Bumi itu sendiri merupakan paksi pada kompas manakala laut pula memberikan petunjuk dalam mencari arah,” jelasnya.

Mercier berbangga melihat pencapaian Noon malah menyifatkan gadis tersebut mampu mengubah komuniti Orang Asli puaknya lantas menjadi inspirasi kepada golongan wanita yang lain atas kejayaannya itu.

“Apabila mereka terdengar berita kejayaan seorang gadis daripada sesebuah komuniti kaum asli itu, ia pasti dapat menaikkan semangat golongan belia di sana. “Pada masa sama, ia dapat menggalakkan penyertaan Orang Asli khususnya golongan wanita muda untuk menceburi bidang aliran sains.

“Hal ini kerana setiap budaya itu berkait rapat dengan sains maka adalah sangat mustahak bagi suku kaum asli yang lain mengembangkan ilmu pengetahuan tradisional mereka dan digabungkan ke dalam sains moden,” jelasnya.

Menerusi pencapaian yang ditonjolkan Noon, Mercier menaruh harapan yang tinggi bahawa suatu hari nanti ilmu sains barat dan tradisional dapat diseimbangkan. Sementara itu, Ketua Eksekutif Universiti Australia, Belinda Robinson berkata, kewibawaan yang ditunjukkan Noon membuktikan kepada dunia bahawa pelajar dalam kalangan Orang Asli juga mempunyai potensi besar dalam bidang kajian astronomi. “Orang Asli yang diberi gelaran Orang Pertama Australia ini memberi sumbangan yang sangat besar terhadap bidang pendidikan dan penyelidikan astronomi.

Strategi

“Kami berharap strategi ini dapat membantu pihak universiti menggunakan sebaiknya sumbangan mereka sekali gus memartabat dan meraikan kecemerlangan kumpulan tersebut. “Kami percaya kepelbagaian latar belakang itu penting dalam membawa perspektif penyelidikan yang berbeza dan kepelbagaian pendekatan penyelidikan,” ujarnya.

Tambah Robinson, Noon bagaikan kunci kepada puak Orang Asli Australia untuk mempelajari sesuatu ilmu yang dikaitkan dengan pengetahuan kuno Orang Asli secara saintifik. Noon kini sedang menjalankan kajian bersama pakar astrologi Orang Asli dari Universiti Monash, Duane Hamacher mengenai cara Orang Asli menggunakan lingkaran pada bulan yang terhasil daripada kristal ais untuk meramal ribut.

“Ketika mula-mula mendapat tahu berkenaan kajian ilmu astronomi orang asli ini, ia nyata membuka mata saya dan benar-benar menakjubkan. Pada masa sama, kami tidak sabar untuk mengetahui dapatan kajiannya,” jelasnya lagi. – Agensi