Komersial United raih kemenangan pertama

Komersial United raih kemenangan pertama

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Komersial United yang tewas menentang SPS United pada Ahad lepas, menemui kemenangan pertama mereka hari ini, apabila menang 3-2 menentang PTC FT dalam Kejohanan Liga 3 Penjuru 11 Orang Sepasukan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan 2015-2016.

Perlawanan yang berlangsung di Padang Bola sepak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama, Berakas itu mempamerkan aksi menarik apabila pemain Komersial United, Muhd Azwan bin Matasin berjaya menjaringkan hatrik pada minit ke-16 dan ke-21 di separuh masa pertama dan pada minit ke-4 di separuh masa kedua.

Bagaimanapun, PTC FT juga memberi tentangan hebat walaupun ketinggalan 2-0 di separuh masa pertama apabila mereka membalas jaringan selepas dua minit pihak lawan menjaringkan gol melalui Arif Sarifuddin bin Haji Salleh.

Perlawanan semakin menarik apabila kedua-dua pasukan saling melakukan serangan yang cantik dan akhirnya pada minit ke-28, PTC FT diberikan sepakan percuma di luar petak D Komersial United.

Sesi bergambar ramai sebelum perlawanan diadakan di antara PTC FT (jersi putih/L.A Galaxy) dan Komersial United (jersi biru merah/Barcelona).
Sesi bergambar ramai sebelum perlawanan diadakan di antara PTC FT (jersi putih/L.A Galaxy) dan Komersial United (jersi biru merah/Barcelona).
Muhd Azwan (kanan) yang menjaringkan hatrik buat Komersial United dalam perlawanan tersebut.
Muhd Azwan (kanan) yang menjaringkan hatrik buat Komersial United dalam perlawanan tersebut.

Sepakan yang diambil oleh Arif Sarifuddin itu terkena hujung tiang gol Komersial United, bagaimanapun berjaya disambut oleh pemain PTC FT Muhd Adilillah bin Moksin yang kemudian memasukkan bola masuk ke gawang menjadikan kedudukan seri 2-2 sehinggalah wisel separuh masa dibunyikan oleh pengadil.

Muhd Azwan kemudian mengembalikan Komersial United di depan apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-4 separuh masa kedua bagi kedudukan 3-2.

Pada minit ke-22 separuh masa kedua, Komersial United berpeluang menambah jaringan menjadi 4-2 apabila mereka diberikan sepakan penalti, namun penjaga gawang PTC FT menepis bola tersebut daripada dimasukkan ke gawang, kedudukan 3-2 kekal hingga wisel penamat perlawanan dibunyikan.

Perlawanan seterusnya ialah CPC menentang City Hall pada hari Ahad ini, 10 Januari, di tempat yang sama, pada jam 4:30 petang.

ARTIKEL YANG SAMA