Komersial United tewaskan Flywheel FC

Komersial United tewaskan Flywheel FC

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Komersial United beroleh menang besar setelah menumpaskan Flywheel FC dengan jaringan 5-2, hari ini, di dalam Kejohanan Liga 3 Penjuru 11 Orang Sepasukan anjuran Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan.

Perlawanan yang berlangsung di Padang Bola sepak jabatan Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama Berakas itu menyaksikan Komersial United mendahului perlawanan di awal minit ke-3 hasil jaringan Awang Bakri bin Abdul Karim.

Namun pendahuluan Komersial United 1-0 itu tidak kekal lama apabila pada minit ke-23, Awang Syakirin bin Haji Abu Bakar dari Flywheel FC telah menjaringkan gol penyamaan.

Dua minit kemudian, pada minit ke-25, Komersial United kembali lagi mendahului perlawanan apabila Lim Sun Hui dengan mudah menjaringkan gol. Empat minit kemudian, Komersial United terus mengukuhkan kedudukan dengan jaringan daripada Haji Zulaizan bin Haji Abdullah, menjadikan keputusan 3-1 hingga separuh masa pertama tamat.

Antara aksi dalam perlawanan di antara Komersial United (jersi Barcelona) dengan Flywheel FC (jersi Inter Milan).
Antara aksi dalam perlawanan di antara Komersial United (jersi Barcelona) dengan Flywheel FC (jersi Inter Milan).

Sementara itu pada separuh masa kedua, Awang Bakri sekali lagi menjaringkan gol buat Komersial United, iaitu pada minit ke-57, dan lima minit kemudian rakan sepasukannya Awang Azwan bin Haji Metassim pula menjaringkan gol, menjadikan pendahuluan mereka semakin kukuh dengan keputusan 5-1.

Bagaimanapun, Flywheel FC tetap tidak berputus asa dan akhirnya berjaya menghasilkan gol kedua mereka iaitu hasil jaringan daripada Awang Mohd Hazwan bin Haji Abdul Hamid pada minit ke-69. Namun keputusan 5-2 tersebut kekal hinggalah wisel tamat perlawanan dibunyikan.

Perlawanan seterusnya akan menyaksikan PTC FT akan menentang SP Satu Yunait-Ideu iaitu pada hari Ahad depan, 28 Februari 2016, jam 4:30 petang, di tempat yang sama.

ARTIKEL YANG SAMA