Komited atasi penyakit kardiovaskular

Komited atasi penyakit kardiovaskular

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Kementerian Kesihatan mengulangi komitmennya untuk mengatasi penyakit-penyakit tidak berjangkit termasuk penyakit kardiovaskular yang masih merupakan punca utama kematian di Brunei sejak lima tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi berkata, pihak kementerian juga komited untuk menyokong usaha negara dalam mencegah dan mengurangkan berat badan berlebihan (obesiti) serta berharap seluruh masyarakat supaya melakukan perkara yang sama.

“Kami tidak dapat melakukannya sendirian. Adalah penting untuk membabitkan lebih daripada seluruh pendekatan kerajaan, seluruh pendekatan negara untuk mengatasi isu ini. Agensi kerajaan dan entiti bukan kerajaan mesti menimbang kesan dasar mereka mengenai kesihatan, agenda yang digelar ‘Kesihatan dalam Semua Dasar,” kata beliau dalam perutusan sempena Hari Jantung Sedunia 2016 hari ini.

Tema sambutan bagi tahun ini ialah “Mewujudkan persekitaran jantung-sihat.”

Menurut beliau, meskipun kemajuan besar dalam penjagaan perubatan terutamanya kejadian akut seperti serangan jantung dan strok, pada tahun 2014, terdapat 408 kematian akibat penyakit kardiovaskular di Brunei Darussalam. Ia merupakan punca utama kematian di Brunei Darussalam dan masih tidak berubah dalam tempoh lima tahun lalu dan lebih lagi.

Katanya, penyakit kardiovaskular adalah sekumpulan gangguan jantung dan saluran darah dan termasuk penyakit jantung koronari seperti serangan jantung dan juga penyakit serebrovaskular termasuk strok.

“Terdapat beberapa risiko faktor yang telah pun dikaitkan dengan penyakit itu dan kebanyakannya boleh diubahsuai dan boleh dikawal dengan diet yang betul dan aktiviti fizikal.

“Gaya hidup yang tidak aktif, obesiti, pendedahan kepada tembakau, tekanan darah tinggi (hypertension), kolesterol tinggi, diabetes dan diet yang tidak sihat semuanya merupakan contoh risiko faktor yang boleh diubahsuai,” jelas beliau.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain berkata, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati, sebanyak 80 peratus daripada kematian pramasa akibat penyakit kardiovaskular boleh dicegah menerusi tiga langkah mudah iaitu mengelak makan berlebihan dan makan dengan bijak; melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit lima kali seminggu dan berhenti merokok.

“Elakkan memakan snek dan kawal jumlah makanan pada waktu makan untuk memastikan awda tidak makan berlebihan, pilih makanan seperti sayuran berdaun, buah-buahan, ikan dan daging pejal, elak makanan manis dan bergula seperti kuih, pencuci mulut dan minuman ringan. Makanan yang tinggi dalam karbohidrat berkanji seperti nasi, mi dan roti harus dimakan secara sederhana. Sebaliknya makan sayur-sayuran untuk mengenyangkan anda.”

ARTIKEL YANG SAMA