Komited bangunkan projek rakyat

Komited bangunkan projek rakyat

SEMPORNA, 29 Nov (Bernama) – Kerajaan negeri komited membangun serta mendahulukan projek yang menjadi keutamaan dan keperluan rakyat di Semporna berbanding pembinaan Jambatan Pulau Bum-Bum, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat kabinet negeri bagi memberi laluan kepada pembangunan projek yang bersifat memenuhi keperluan rakyat.

“Berkenaan jambatan ini, saya tak kata tak boleh tapi pegawai daerah cakap nilainya mencecah RM600 juta sedangkan banyak lagi pembangunan yang diperlukan orang Semporna iaitu jalan raya, sistem pembetungan, masalah air dan terminal bas yang lebih penting daripada jambatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan geran komunal kepada 745 peneroka tanah di Mount Pock dan Nagos, di sini pada Ahad. Menurut Musa, di Semporna terdapat keperluan lain yang boleh dibangunkan terlebih dahulu dan semestinya perlu mendapat persetujuan bersama antara kerajaan pusat dan negeri.

“Banyak lagi keperluan lain, jadi mesti ikut keutamaan, lambat laun akan dibangunkan juga (jambatan), cuma kita melihat keutamaan dan persetujuan antara kerajaan pusat dan negeri agar pembangunan yang dibina selari dengan kehendak dan keperluan rakyat,” jelasnya.