Komited dan optimistik

Komited dan optimistik

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mac – Setelah berehat pada penghujung tahun (September sehingga Disember) baik bagi dirinya dan kudanya, Penunggang Kuda Kebangsaan, Pengiran Muhammad Nasir bin Pengiran Anak Haji Ja’afar akan mula menyertai kejohanan yang kecil dahulu sebelum menyertai kejohanan yang lebih besar di Eropah sedikit masa lagi.

Beliau ketika ditemui baru-baru ini menegaskan setakat ini belum ada mana-mana kejohanan besar yang akan disertainya kerana beliau perlu mempersiapkan dirinya untuk kejohanan yang besar antaranya Sukan Asia dan Asia Tenggara tahun hadapan dan setahun selepas itu.

“Walau banyak kejohanan yang boleh disertai, saya juga menyimpan hasrat untuk menyertai kejohanan global tahun hadapan seperti siri perlawanan di Eropah seperti Concours de Saut Interbational (CSI) 3 Star Baltica Tour Grand Prix of Choczewo di Poland Utara,” tegasnya.

Beliau sepatutnya menyertai kejohanan itu tahun lalu, namun ekoran kuarantin yang terpaksa beliau lalui menyebabkannya meninggalkan hasrat tersebut. Bagaimanapun beliau sangat optimistik dengan penyertaan yang besar itu nanti, ujarnya kepada pihak Media Permata.

Untuk mendapatkan tangga dalam kedudukan antarabangsa, menurutnya beliau masih belum mempunyai kapasiti daripada aspek keperluan kerana untuk masuk ke dalam barisan itu, para peserta perlu mempunyai bilangan kuda yang banyak untuk menyertai lebih banyak penyertaan dan itulah yang menyebabkannya terbantut daripada menyertainya, di samping terdapat beberapa faktor lain lagi.

Pengiran Muhammad Nasir ketika beraksi di dalam satu kejohanan di Eropah. - 1ClicPhoto
Pengiran Muhammad Nasir ketika beraksi di dalam satu kejohanan di Eropah. – 1ClicPhoto

Namun begitu katanya apa yang lebih penting ialah penyertaan dan pencapaian yang menjadi harapan untuk terus membawa nama negara di persada kejohanan Eropah dengan mula berlatih bermula Julai 2016 ini nanti.

“Berbanding sebelum ini saya jauh lebih baik dan berdaya saing dan kini banyak menyertai peringkat Grand Prix dan saya sangat teruja untuk menyertai kejohanan di sana kerana jika saya ingat pada awal penyertaan saya sedikit gugup namun sekarang perasaan takut menjadi teruja untuk menyertai,” tegasnya lagi.

Menurut Pengiran Muhammad Nasir lagi setelah 11 tahun menyertai kejohanan di Eropah, lebih banyak yang perlu diperbaiki dan dipelajari kerana semua ini bergantung pada fizikal penunggang sendiri kerana kuda yang ditunggang sentiasa bersedia dan menegaskan “saya sendiri mengakui kecergasan sentiasa menjadi isu dan cabaran.

“Saya perlu mendisiplinkan diri untuk lebih cergas dalam mana-mana penyertaan dan ia akan saya mulakan dalam masa terdekat sebelum April 2017 nanti, dan saya sangat mementingkan mana-mana perlawanan kerana ia mendedahkan negara kita dan ia adalah satu tanggungjawab saya untuk bersaing serta memberikan persaingan kepada semua peserta,” tambahnya.

Menurut penunggang kuda yang mendapat tangga ke-5 CSI itu, Sukan Asia Tenggara tahun hadapan dan Sukan Asia setahun selepas itu adalah keutamaannya dan beliau komited untuk membuat persiapan diri untuk tujuan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA