Komited dengan inisiatif HoB

Komited dengan inisiatif HoB

KUCHING, 3 Nov (Bernama) – Kerajaan negeri Sarawak mengiktiraf kepentingan kepulauan Borneo sebagai sistem sokongan kehidupan, kata ketua menterinya Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata kerajaan negeri menyokong konsep pemuliharaan termasuk pewujudan kawasan pemuliharaan rentas sempadan yang membawa kepada usaha menandatangani pengisytiharan ‘Heart of Borneo’ (HoB) antara kerajaan Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia pada 2007.

Adenan berkata inisiatif HoB adalah sambungan kepada kerjasama pelbagai hala, bilateral dan inisiatif berorientasikan kerajaan sedia ada, yang dilaksanakan kerajaan negeri.

“Kita akan bekerjasama dengan negara jiran kita bagi memastikan pemuliharaan dan pengurusan sumber hutan berkesan bagi rangkaian kawasan kita yang dilindungi, kegunaan hutan dan tanah yang lestari secara produktif dalam lingkungan kawasan HoB bagi mengekalkan warisan semula jadi Borneo untuk manfaat generasi sekarang dan akan datang dan juga tanpa prejudis berhubung rundingan yang sedang berjalan berhubung penandaan sempadan tanah.

Teks ucapan Adenan disampaikan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) yang juga Menteri Muda Alam Sekitar negeri Datuk Len Talif Salleh pada bengkel Pelaksanaan projek Koridor Antarabangsa HoB di sini hari ini.

Inisiatif HoB merupakan kerjasama rentas sempadan secara sukarela tiga negara menggabungkan kepentingan pemegang taruh, berdasarkan kebijaksanaan tempatan, mengakui dan menghormati undang-undang, peraturan dan dasar di negara masing-masing.

Adenan berkata kerajaan negeri bersedia bekerjasama berdasarkan prinsip pembangunan lestari melalui penyelidikan dan pembangunan, penggunaan lestari, perlindungan, pendidikan dan latihan, pengumpulan dana, dan juga aktiviti lain yang berkaitan dengan pengurusan rentas sempadan, pemuliharaan dan pembangunan dalam kawasan HoB.

Beliau berkata asas semangat dan falsafah Inisiatif HoB adalah peningkatan kehidupan masyarakat yang tinggal di kawasan HoB.

Di samping itu, nilai-nilai pemuliharaan dan alam sekitar dalam kawasan itu mesti dilindungi dan dipertingkatkan melalui kerjasama dan penyelarasan program tindakan antara ketiga-tiga negara.