Komited dukung 16 prinsip teras

Komited dukung 16 prinsip teras

KOTA KINABALU, 11 Jan (Bernama) – Malaysia komited untuk mendukung 16 prinsip teras Piagam Komanwel termasuk tadbir urus demokratik yang diperkemas dan diperkukuh dari semasa ke semasa selain peranan penting Parlimen, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, tadbir urus demokratik dan hak asasi manusia meliputi hal berkaitan keamanan dan keselamatan, toleransi dan hormat, kebebasan memberi pendapat, pemisahan kuasa dan kedaulatan undang-undang, yang menjadi tonggak Komanwel serta termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

“Perkara paling penting bagi mendukung prinsip ini ialah adanya hubungan harmoni antara cawangan kerajaan – eksekutif, legislatif dan kehakiman – yang masing-masing memperoleh kuasa daripada kehendak rakyat secara berdaulat, yang dengan itu memerlukan mereka bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Speaker dan Yang Dipertua Dewan Negara-negara Komanwel (CSPOC) Ke-23 di sini, hari ini.

Turut hadir Speaker Parlimen Malaysia Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Ahmad Zahid ketika merasmikan CSPOC ke-23 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah kelmarin. – Bernama
Ahmad Zahid ketika merasmikan CSPOC ke-23 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah kelmarin. – Bernama

Ahmad Zahid berkata apabila demokrasi diancam, bukan cawangan eksekutif semata-mata yang perlu mencari penyelesaiannya, malah keseluruhan institusi Parlimen perlu bertindak secara kolektif kerana ia merupakan peluang bagi membaharui kepercayaan berterusan terhadap prinsip asas Komanwel.

Katanya cawangan eksekutif menerima pendapat Parlimen kerana perbincangan mengenai pelbagai perkara yang diadakan di Parlimen mencerminkan kehendak rakyat, oleh itu, kedua-dua cawangan kerajaan itu perlu bekerjasama.

Menurutnya Speaker dan Yang Dipertua Dewan dipandang tinggi kerana mereka adalah pemelihara tradisi demokrasi Parlimen, suatu kedudukan yang mencerminkan maruah serta kuasa Dewan yang mereka kelolakan. Melalui kedudukan mereka, katanya, Speaker dan Yang Dipertua Dewan menjadi peneraju untuk membolehkan perwakilan dan legislatif berfungsi melalui konsep pembangunan secara adil dan inklusif.

Melalui dialog dan usaha membina kesepakatan, Parlimen boleh mendampingi pengundi secara konstruktif bagi mendapatkan pandangan mereka, manakala sikap responsif dan kesediaan para Speaker dan Yang Dipertua Dewan untuk mendengar suara rakyat pula adalah antara kekuatan utama dalam sistem berparlimen, katanya.

“Suara 2.2 bilion orang memberi hak kepada Komanwel untuk membincangkan perkara penting di peringkat global. Kekuatan Komanwel terletak pada kepelbagaian dan nilai yang dikongsinya. Setiap anggota mempunyai hak yang sama untuk menyuarakan pendapat, tanpa mengira saiz atau kedudukan ekonominya,” kata beliau.

Ahmad Zahid berkata pendekatan baharu diperlukan untuk meningkatkan peranan Parlimen, yang mengatasi perbezaan politik serta mengutamakan keperluan dan aspirasi rakyat kerana tradisi telah terbukti tidak memadai untuk menangani cabaran yang dihadapi institusi ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Malaysia mencadangkan pembaharuan dibuat terhadap kedudukan Parlimen bagi memastikan Dewan dapat melaksanakan tugasnya dengan lebih cekap serta berkesan dan cawangan eksekutif menyokong penuh pembaharuan yang dicadangkan itu.

“Kami benar-benar percaya bahawa lebih seimbang hubungan antara legislatif dan eksekutif, maka akan lebih berkesanlah sistem demokrasi berparlimen. Inilah yang menjadi resipi bagi tadbir urus baik dan kemajuan ke arah mencapai kematangan demokrasi,” katanya.