Komited ke arah pengurusan hutan hujan mapan

Komited ke arah pengurusan hutan hujan mapan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Negara-negara Asia Pasifik terus menekankan komitmen untuk mengutamakan pembangunan mapan dan menangani perubahan iklim menerusi pelbagai tindakan yang nyata.

Dalam hubungan itu, penekanan kepada pengurusan hutan dan landskap yang mapan merupakan salah satu faktor utama bagi mengurangkan perubahan iklim dan mempromosikan pembangunan bagi rantau berkenaan iaitu sebuah rantau dinamik yang kaya dengan aset semula jadi, penekanan atau penumpuan kepada perkara itu adalah amat penting sebagai kaedah untuk maju ke hadapan.

Oleh itu, Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik merupakan platform unik bagi negara-negara rantau Asia Pasifik untuk meneroka bagaimana kepelbagaian ekonomi boleh menyokong agenda pembangunan dan alam sekitar.

Pihak-pihak yang berkepentingan yang terdiri daripada wakil sektor kerajaan, perniagaan, persatuan awam dan komuniti penyelidikan berkumpul untuk membincangkan dan berkongsi pengalaman mengenai pengurusan hutan hujan mapan di Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik 2016 (APRS 2016) yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 5 Ogos di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Sidang kemuncak itu dirasmikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong yang turut menyampaikan ucaptama yang menyentuh mengenai usaha Brunei dalam menyokong agenda perbincangan di mana inisiatif kepelbagaian ekonomi perhutanan negara adalah selaras dengan strategi pembangunan Wawasan 2035.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali merasmikan sidang kemuncak berkenaan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali merasmikan sidang kemuncak berkenaan.

Semasa perasmian sidang kemuncak itu, Menteri Tenaga dan Alam Sekitar, Australia, Josh Frydenberg dan Menteri Sumber-sumber Semula Jadi dan Alam Sekitar, Malaysia, Datuk Seri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar turut menyampaikan ucaptama di mana mereka menekankan komitmen negara masing-masing untuk menyokong usaha kepada pembangunan mapan dan menangani perubahan iklim menerusi pengurusan hutan yang mapan.

Sidang kemuncak itu merupakan acara antarabangsa yang dihoskan oleh Brunei dan disokong oleh kerajaan Australia, mengetengahkan pertemuan dan perbincangan daripada pelbagai peserta mengenai usaha untuk memangkinkan tindakan praktikal untuk mengurangkan emisi daripada kehilangan hutan dan kemusnahan hutan serta untuk mencapai pembangunan mapan serantau.

Hutan hujan di rantau Asia Pasifik merangkumi kira-kira 26 peratus kawasan darat rantau dan ia menyokong kehidupan bagi kira-kira 450 juta orang penduduk serta mempunyai kekayaan khazanah semula jadi dan biodiversiti yang merupakan enjin yang amat penting bagi pertumbuhan ekonomi.

Sidang kemuncak itu mengetengahkan penceramah-penceramah dari rantau Asia Pasifik dan antara yang bakal menyampaikan ceramah termasuk Pengarah Pemuliharaan, Rantau Asia Tenggara, The Nature Conservancy, Jack Hurd; Ketua Pengarah, Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa (CIFOR), Dr Peter Holmgren; dan Pegawai Perhutanan Kanan bagi Asia dan Pasifik, Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN FAO), Patrick Durst.

Sidang kemuncak itu mengetengahkan beberapa tema utama termasuk pembiayaan iklim hutan inovatif di mana pada masa ini terdapat minat yang meningkat mengenai peluang bagi pelaburan kewangan inovatif dalam penyesuaian dan mengurangkan perubahan iklim termasuk pelaburan dalam mengurangkan emisi daripada kehilangan serta kemusnahan hutan.

Tema lain yang turut diketengahkan, peranan sektor swasta dan peluang-peluang baru bagi kerjasama awam, kerajaan dan swasta di mana sektor swasta mempunyai peranan penting dalam memulihara hutan hujan di rantau Asia Pasifik termasuk melalui amalan perniagaan serta peluang untuk menubuhkan kerjasama di antara syarikat-syarikat swasta, komuniti dan pihak kerajaan.

Di samping itu, tema ekonomi hijau bagi masa depan yang cerah turut diketengahkan di mana ia menekankan perlunya untuk mengimbangkan nilai biodiversiti dengan keperluan untuk membangunkan ekonomi.

Oleh itu, ekonomi hijau akan menunjukkan bagaimana hutan boleh mengekalkan kapital aslinya dan pada masa yang sama dapat menyokong pembangunan industri dan kehidupan seharian masyarakat.

Sidang itu turut membentangkan mengenai pentingnya bagi dasar dan urus tadbir hutan yang kukuh sebagai asas kepada pengurusan mapan hutan dan landskap untuk mengurangkan perubahan iklim serta menggalakkan pembangunan serantau.

ARTIKEL YANG SAMA