Komited kekal persekitaran

Komited kekal persekitaran

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) mempunyai visi untuk merealisasikan pembangunan ekonomi sosial yang boleh diterima dan mempunyai pembangunan ekonomi yang mampan di samping mendapat penyertaan penuh dalam pembangunan proses sub-serantau.

Sehubungan dengan itu, Mesyuarat Kluster Alam Sekitar BIMP-EAGA ke-4 diadakan hari ini di Dewan Betabur, Bangunan Kementerian Pembangunan dengan dipengerusikan oleh ketua delegasi Malaysia, Datuk Yabi bin Yangkat.

Beliau dalam ucapannya menyatakan, mesyuarat dua hari yang berlangsung sehingga esok itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pertama, melaporkan kemajuan pelaksanaan oleh setiap negara anggota dan kedua, Bengkel ‘Charting the Post-2016 Environment Sector Roadmap’ yang dimudah carakan oleh Pusat Fasilitasi BIMP-EAGA dan Bank Pembangunan Asia (ADB).

Datuk Yabi meluahkan harapan agar melalui bengkel ini, satu panduan dan hala tuju yang jelas dan praktikal dapat dihasilkan untuk diikuti oleh Kluster Alam Sekitar, di samping mesyuarat berkenaan membuahkan hasil untuk memastikan mereka terus bergerak ke hadapan dengan cekap dalam menguruskan alam sekitar sub rantau ini secara holistik.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) selaku Ketua Delegasi Negara Brunei Darussalam, Dayang Kim Hon binti Bangau semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di mesyuarat itu menjelaskan, Kluster Alam Sekitar BIMP-EAGA bertujuan untuk membangun pelan tindakan yang tertumpu kepada BIMP-EAGA bagi pengurusan mampan sumber asli dan alam sekitar serta melaksanakan pelan tindakan yang telah dikenal pasti.

Datuk Yabi (depan empat dari kiri), Dayang Kim Hon (depan tiga dari kiri) semasa bergambar ramai bersama para peserta delegasi semasa Mesyuarat Kluster Alam Sekitar BIMP-EAGA ke-4 di Kementerian Pembangunan.
Datuk Yabi (depan empat dari kiri), Dayang Kim Hon (depan tiga dari kiri) semasa bergambar ramai bersama para peserta delegasi semasa Mesyuarat Kluster Alam Sekitar BIMP-EAGA ke-4 di Kementerian Pembangunan.

Selain itu, bagi sokongan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan menggalakkan penyertaan orang ramai ke arah pengurusan sumber asli dan alam sekitar yang mampan di samping membangunkan pendekatan bersama sub-rantau untuk menangani isu-isu baru berkaitan dengan pengurusan sumber asli dan alam sekitar yang mapan.

Menurut beliau, strategik teras BIMP-EAGA adalah berdasarkan empat tunggak strategik iaitu bagi meningkatkan perhubungan dalam BIMP-EAGA dan juga kawasan-kawasan lain di luar BIMP-EAGA; bagi mewujudkan BIMP-EAGA sebagai pengeluar makanan untuk ASEAN dan seluruh Asia; bagi menggalakkan BIMP-EAGA sebagai destinasi pelancongan yang unggul di rantau ini; dan untuk memastikan pengurusan alam sekitar yang mampan.

Kluster Alam Sekitar BIMP-EAGA juga membantu merapatkan jurang pembangunan dalam kalangan negara-negara anggota EAGA serta di seluruh negara-negara ASEAN serta negara-negara ASEAN+6 yang memberi tumpuan kepada pengurusan mampan ekosistem sub-serantau yang kritikal.

“Sebagai salah sebuah negara BIMP-EAGA, Brunei Darussalam akan sentiasa komited di dalam mengekalkan persekitaran dari pelbagai tekanan seperti pencemaran udara, kesan pembandaran kepada pemanasan global, pencemaran air dan sebagainya.”

Menurut beliau lagi, dalam usaha untuk melaksanakan Langkah-langkah Ekonomi Hijau dan Penjimatan Tenaga, Brunei Darussalam adalah sangat aktif dalam melaksanakan langkah-langkah ini untuk memacu negara ke arah pembangunan mampan pada masa depan berdasarkan isu-isu sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Di negara ini, jelas beliau, Jabatan Kerja Raya melalui Kementerian Pembangunan telah melaksanakan Inisiatif Bangunan Hijau, malah Penilaian Kesan Alam Sekitar juga telah diperkenalkan yang merangkumi sosial, ekonomi dan kesihatan selain daripada aspek alam sekitar dalam sesuatu projek atau pembangunan.

Di samping, tambah beliau, data statistik yang mana kajian mengenai keadaan alam sekitar juga sedang dilakukan dan data disediakan kepada orang ramai sebagai fasilitator. Laporan pertama telah pun diterbitkan di negara ini oleh JASTRe di bawah Kementerian Pembangunan.

Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh delegasi BIMP-EAGA dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Brunei Darussalam serta pegawai-pegawai dan kakitangan dari JASTRe.

ARTIKEL YANG SAMA