Komited laksana perkara dipersetujui

Komited laksana perkara dipersetujui

CHIANGMAI, 3 Mac (Bernama) – Menteri-menteri Ekonomi ASEAN komited untuk memastikan perkara yang telah dipersetujui dalam cadangan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dilaksanakan, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata perkara yang telah dipersetujui berhubung pengurangan tarif barangan dalam perjanjian itu akan diteruskan.

“Hari ini kita (Menteri-menteri Ekonomi ASEAN) bersetuju dan komited untuk tidak akan berundur dalam RCEP dan perkara yang telah dipersetujui akan dilaksanakan,” katanya kepada Bernama pada sesi Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-22 di sini, hari ini.

Terdapat beberapa negara menganggap sukar untuk mengurangkan tarif 65 peratus barangan mereka sehingga ke tahap sifar apabila RCEP ditandatangani dan tambahan 15 peratus lagi bagi barangan selepas 10 tahun perjanjian dimeterai.

RCEP yang sepatutnya dimuktamadkan pada tahun lepas merupakan cadangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara 10 negara anggota ASEAN dan enam negara yang mempunyai FTA sedia ada dengan ASEAN iaitu China, Jepun, India, Australia, Korea Selatan dan New Zealand.

Datuk Seri Mustapa Mohamed (empat, kiri) bersama rakan sejawatannya dengan kelaziman ASEAN bersalaman sebelum memulakan Retreat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-22 pada 3 Mac. – Bernama
Datuk Seri Mustapa Mohamed (empat, kiri) bersama rakan sejawatannya dengan kelaziman ASEAN bersalaman sebelum memulakan Retreat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-22 pada 3 Mac. – Bernama

RCEP dijangka dimeterai pada tahun ini.

Rundingan RCEP, yang meliputi tiga bilion penduduk dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS$17 trilion, dilancarkan secara rasmi pada November 2012 sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Kemboja.

RCEP meliputi perdagangan barangan, perkhidmatan dan pelaburan, ekonomi dan kerjasama teknikal, hak harta intelek, persaingan, penyelesaian pertikaian dan isu lain.

Pusingan rundingan mengenai RCEP seterusnya akan berlangsung di Perth, Australia, selepas pasukan perunding bertemu di Brunei baru-baru ini.

Mustapa berharap rundingan RCEP di Australia itu akan memperoleh kejayaan.

Mengenai Pemukiman Menteri-menteri Ekonomi ASEAN yang dipengerusikan Laos hari ini, Mustapa berkata usaha untuk memastikan integrasi ASEAN lebih mendalam dan menyeluruh akan dilaksanakan.

Katanya Menteri-menteri Ekonomi ASEAN juga bersetuju untuk meneruskan momentum yang dicapai di Kuala Lumpur pada tahun lepas dalam memastikan proses integrasi ASEAN lebih menyeluruh sebagaimana dikehendaki Komuniti ASEAN.

Katanya sehingga kini, ASEAN telah mencapai 93 peratus daripada perkara yang digariskan bersama untuk proses integrasi ASEAN dan akan terus berusaha untuk mencapai perkara yang belum tercapai pada tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA