Komited lindungi pekebun kecil sawit dari orang tengah

KENINGAU, 11 Okt – Koperasi Penanam Sawit Mapan (KPSM) Keningau mempelawa penanam kelapa sawit di daerah ini agar menyertainya bagi menikmati pelbagai faedah selain melindungi mereka daripada ditipu dan dimanipulasi oleh orang tengah dalam penjualan buah sawit.

Pengerusinya Datuk Justin Guka berkata pihaknya menerima banyak aduan penipuan timbangan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab selain mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 pusat timbang tandan kelapa sawit yang diusahakan secara persendirian oleh indvidu tertentu di daerah Sook.

“Kami tidak mahu pekebun kecil sawit tertipu dan perkara yang berlarutan sejak sekian lama ini perlu dihentikan segera. Orang tengah mengambil kesempatan mengaut keuntungan besar daripada hasil titik peluh mereka,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata KPSM Keningau yang ditubuhkan pada 2012 di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia merupakan cawangan KPSM ke-41 di seluruh negara.

Setakat ini KPSM Keningau dianggotai kira-kira 400 pekebun kecil.

Selain melindungi kepentingan pekebun kecil sawit, koperasi tersebut juga ditubuhkan bagi menyatukan golongan berkenaan dalam menjalankan aktiviti ekonomi melalui amalan pertanian baik serta jualan buah sawit secara berkelompok terus ke kilang.

Beliau berkata pekebun kecil sawit terbabit berpeluang meraih harga tinggi dan telus, mendapat potongan selepas jualan dan dividen akhir tahun, selain khidmat nasihat teknikal percuma serta pengurangan kos jualan operasi melalui jualan secara berkelompok.

Menurutnya kerajaan juga telah memperuntukkan kira-kira RM200,000 kepada koperasi itu untuk membina Pusat Timbang Buah Tandan Segar di Kampung Delayan Lama Sook yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup yang juga Anggota Parlimen Pensiangan pada Ahad lepas.

Pusat ini telah beroperasi dan menerima jualan buah sawit daripada pekebun kecil sekitar Sook, katanya. – Bernama