Komited membudayakan masyarakat bermaklumat

Komited membudayakan masyarakat bermaklumat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Mei – Sejak penubuhannya 63 tahun yang lalu hinggalah sekarang, Jabatan Penerangan tidak kendur-kendur berusaha ke arah membudayakan masyarakat bermaklumat kerana melalui maklumat sahih mengenai negara dan perkembangannya akan dapat menyumbang kepada perpaduan bangsa dan kesejahteraan negara.

Sebagai mata, lidah dan telinga kerajaan, peranan jabatan dalam menyampaikan maklumat mengenai dasar dan agenda kerajaan, tidak hanya bergantung kepada penggunaan media cetak tetapi juga melalui pendekatan bersemuka.

Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar sambil menambah “Program Sua Muka, bagi menyalurkan maklumat dan mendengarkan isu-isu semasa pada masa ini telah dipertingkatkan kekerapannya sehingga mencapai 59 kali sejak tahun 2013”.

Beliau menekankan perkara ini di Majlis Memperingati Penubuhan Jabatan Penerangan ke-63 Tahun bagi Daerah Belait di Taman Persiaran Jalan Sungai di sini, hari ini.

Nyanyian Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara daripada Koir Jabatan Penerangan.
Nyanyian Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara daripada Koir Jabatan Penerangan.
Penyampaian Coffee Table Book kepada wakil penghulu dan ketua Kampung Daerah Temburong.
Penyampaian Coffee Table Book kepada wakil penghulu dan ketua Kampung Daerah Temburong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin, yang turut merasmikan Pameran Memperingati Penubuhan Jabatan Penerangan ke-63 tahun. Di majlis itu, tetamu kehormat turut menyampaikan buku berilustrasi “Kedamaian Dalam Kepelbagaian” Daerah Temburong kepada para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Belait.

Majlis memperingati penubuhan Jabatan Penerangan di daerah, yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini, diisi dengan beberapa aktiviti termasuk pameran produk mukim dan kampung, Pertandingan Pidato dan Bicarawara Pelita Brunei yang akan membincangkan mengenai perkembangan dan pencapaian akhbar Pelita Brunei dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA