Komited pengurusan dan pemuliharaan hutan

Komited pengurusan dan pemuliharaan hutan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Menteri-menteri perhutanan dan alam sekitar dari negara-negara rantau Asia Pasifik yang menghadiri Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik ke-2, sekali lagi, menekankan komitmen masing-masing bagi meningkatkan kerjasama serta usaha untuk menangani perubahan iklim, menggalakkan pembangunan mapan serta melaksanakan pengurusan dan pemuliharaan hutan hujan yang mapan.

Komitmen itu disuarakan oleh menteri-menteri yang menghadiri sidang kemuncak berkenaan dalam ucapan-ucapan utama para menteri semasa hari kedua Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik ke-2 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Sesi ucapan utama menteri-menteri negara Asia Pasifik yang menghadiri persidangan itu dihadiri oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong. Sesi ucapan utama itu didahului oleh Menteri Perikanan dan Perhutanan Fiji, Osea Naiqamu yang menyatakan komitmen kerajaan Fiji untuk menangani isu perubahan iklim di mana beliau berkata bahawa kesan daripada perubahan iklim mempunyai potensi untuk menjejaskan usaha pembangunan negara berkenaan.

Beliau menambah bahawa berdasarkan kepada potensi yang meluas dan pelbagai peranan penting yang dimainkan oleh hutan dalam menangani isu kemiskinan serta kemapanan ekosistem, kerajaan Fiji juga meningkatkan jumlah peruntukan yang diberikan pada Jabatan Perhutanan negara berkenaan dengan tumpuan kepada bidang penanaman semula hutan menerusi kerjasama dengan komuniti pedalaman, sektor swasta dan persatuan bukan kerajaan untuk menambah stok dan meningkatkan kawasan hutan.

Osea Naiqamu menekankan lagi komitmen dan sokongan kerajaan Fiji terhadap matlamat bersama sidang kemuncak itu dan menyatakan harapan supaya Pelan Pemulihan Hutan Hujan Asia Pasifik akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyampaikan cenderahati kepada Yin Kim Sean.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyampaikan cenderahati kepada Yin Kim Sean.

Menteri Sumber-Sumber Asli dan Alam Sekitar, Malaysia, Datuk Seri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dalam ucapannya turut menekankan komitmen Malaysia dalam melaksanakan dasar serta menyokong usaha kepada pembangunan mapan bagi menangani perubahan iklim menerusi pengurusan hutan yang mapan.

Sementara itu, Menteri Perdagangan, Industri dan Alam Sekitar, Timor-Leste, Constancio Pinto berkata bahawa hutan hujan merupakan isu yang amat penting bagi semua negara di rantau Asia Pasifik kerana ia memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian sebagai sumber kehidupan, perlindungan, biodiversiti serta mempunyai keupayaan untuk menyerap dan mengasingkan emisi karbon.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara baru di rantau Asia Pasifik, Timor-Leste berhadapan dengan pelbagai masalah di peringkat negara di mana kurang akses kepada sumber tenaga alternatif, amalan pertanian yang tidak mapan dan kegiatan perindustrian yang memudaratkan kepada kawasan hutan merupakan antara cabaran utama yang dihadapi oleh kerajaan Timor-Leste dalam melindungi hutan negara berkenaan.

Dalam hubungan itu, beliau berkata, amat penting bagi pemimpin-pemimpin di rantau Asia Pasifik untuk membantu satu sama lain dalam pembangunan kapasiti dan menghulurkan bantuan kewangan bagi mengurangkan kerosakan kepada kawasan hutan hujan di rantau Asia Pasifik.

“Selain daripada itu, untuk melindungi dan memulihara hutan hujan dan menggunakan sumbernya secara mapan memerlukan komitmen politik daripada pemimpin-pemimpin di rantau ini.”

Menteri Pertanian, Ternakan, Perhutanan, Perikanan dan Biosekuriti, Vanuatu, Matai Seremiah dalam ucapan utamanya menyeru semua pihak untuk bersatu dan menyokong satu sama yang lain dalam melindungi dan mengurus secara mapan sumber penting iaitu hutan hujan yang memainkan peranan untuk memberi udara dan air yang bersih kepada dunia serta memberikan keamanan serta kesejahteraan pada hati, minda dan jiwa manusia sejagat.

“Ia adalah benar bahawa kita semua dari negara-negara yang berlainan tetapi hutan yang wujud di negara-negara hutan hujan hanya mempunyai satu nama, yang dikenali sebagai hutan hujan.”

Beliau berkata, Vanuatu akan terus memerlukan sumber kewangan dan teknikal untuk meningkatkan serta mencapai impiannya ke arah mencapai pengurusan landskap mapan. Dalam hubungan itu, beliau menyeru semua negara untuk terus bersatu dan berkongsi pengalaman serta sumber dalam mempromosikan pengurusan saksama, penggunaan dan perlindungan hutan hujan.

ARTIKEL YANG SAMA