Komited perangi jenayah transnasional

Komited perangi jenayah transnasional

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Negara Brunei Darussalam pada masa ini sedang meminda Perintah Penyeludupan dan Pemerdagangan Manusia 2004 dalam usahanya bersiap sedia melaksanakan Konvensyen Membasmi Penyeludupan Manusia Asia, Khususnya Wanita dan Kanak-kanak (ACTIP) dan Pelan Tindakan ASEAN Terhadap Penyeludupan Manusia.

Ini termasuklah peruntukan untuk mengembangkan lagi hukuman dalam kes-kes teruk pemerdagangan manusia, bantuan bagi mangsa penyeludupan secara persendirian, imuniti daripada hukuman bagi mangsa-mangsa penyeludupan manusia di mana kesalahan ini adalah akibat langsung penyeludupan dan meningkatkan kuasa-kuasa siasatan bagi agensi-agensi penguatkuasaan.

Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar memaklumkan perkara itu dalam Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN mengenai Jenayah Transnasional (AMMTC ke-10) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, Yang Berhormat Pehin turut menegaskan bahawa dalam jangka masa panjang AMMTC/SOMTC seharusnya mengambil pendekatan strategi 4P iaitu Pencegahan, Perlindungan, Perkongsian dan Penghukuman dalam semua Jenayah Rentas Sempadan di bawah kuasa AMMTC/SOMTC. Ini bukan sahaja akan menghapuskan jenayah itu dari akar umbinya, malah melindungi kumpulan yang mudah terancam dan paling penting, mendidik orang awam daripada melakukan atau menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Yang Berhormat Pehin turut mempengerusikan Mesyuarat AMMTC+Jepun ke-2 bagi meningkatkan usaha memerangi keganasan dan jenayah siber termasuk membina kapasiti.

Yang Berhormat Pehin (Dr.) Haji Mohammad Yasmin (dua dari kanan) bersama Datuk Zahid Hamidi (tengah) dan Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Badrodin Haiti, Menteri Keselamatan Awam Laos, Brigadier Jeneral Polis Somkeo Sylavong dan Menteri Keselamatan Awam Vietnam, Tran Dai Quang melihat Deklarasi Kuala Lumpur dalam Memerangi Jenayah Transnasional. – Bernama
Yang Berhormat Pehin (Dr.) Haji Mohammad Yasmin (dua dari kanan) bersama Datuk Zahid Hamidi (tengah) dan Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Badrodin Haiti, Menteri Keselamatan Awam Laos, Brigadier Jeneral Polis Somkeo Sylavong dan Menteri Keselamatan Awam Vietnam, Tran Dai Quang melihat Deklarasi Kuala Lumpur dalam Memerangi Jenayah Transnasional. – Bernama

Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai SOMTC+ Rangka Kerja Jepun bagi Kerjasama Memerangi Keganasan dan Jenayah Rentas Sempadan (2015-2017).

Delegasi Brunei Darussalam yang turut menghadiri mesyuarat itu ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar dan juga para pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Peguam Negara, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Yang Berhormat Pehin dan para menteri serta delegasi 10 negara anggota ASEAN turut menegaskan komitmen untuk bekerjasama lebih rapat dalam memerangi ruang tradisional dan baharu jenayah rentas sempadan.

Melalui Deklarasi Kuala Lumpur dalam Memerangi Jenayah Rentas Sempadan pada akhir Mesyuarat Peringkat Menteri-menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) mereka mengambil maklum mengenai kemunculan bentuk baru jenayah rentas sempadan, seperti yang dilaporkan Pejabat PBB mengenai dadah dan jenayah, termasuk isu-isu yang berhubung kait atau pergerakan luar aturan manusia. Antara langkah yang diambil melalui deklarasi ialah sidang AMMTC diadakan setiap tahun bagi perundingan berterusan berikutan perkembangan dan evolusi isu terbabit yang sangat pantas.

Mereka juga mengesahkan penyeludupan hidupan liar dan balak serta pemerdagangan manusia sebagai bidang baru jenayah rentas sempadan, menyokong kerja ke arah meningkatan Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLAT) dalam Perkara Jenayah, serta sokongan terhadap tugas Mesyuarat Menteri Undang-undang ASEAN bagi meluaskan kerjasama mengenai isu ekstradisi.

Terdahulu majlis menandatangani deklarasi disempurnakan oleh para menteri dan ketua delegasi dari 10 negara dengan Malaysia diwakili Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri kemudiannya menyerahkan deklarasi kepada Timbalan Setiausaha Agung ASEAN Hirubalan Velupilla Ponnudura sebagai simbol bahawa anggota ASEAN menerima dokumen berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA