Komited perluas pasaran eksport Proton – Matrade

Komited perluas pasaran eksport Proton – Matrade

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) komited menjalin kerjasama erat dengan pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd, untuk memperluaskan potensi perniagaan pasaran eksport syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata Matrade akan menyediakan bantuan maklumat pasaran mengenai negara berpotensi bagi eksport tersebut.

“Proton mahu memperluaskan perniagaannya dan mempunyai prospek yang baik bagi melonjak eksport ke pasaran luar negara.

“Matrade melihat kepada pasaran seperti Asia Barat, negara Afrika, Amerika Latin, Asia dan lain-lain yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran seminar dan bengkel mengenai peralatan perubatan di sini, hari ini.

Dzulkifli berkata Proton bersedia untuk memasuki semula pasaran Chile dengan 100 unit Proton Preve pada akhir bulan ini, selepas 16 tahun terhenti. Beliau berkata Proton mampu menembusi pasaran eksport melalui produknya yang lain ke Chile dan meneroka segmen kereta elektronik atau hibrid.

Dzulkifli yang turut berkongsi pengalaman misi perdagangan ke Tehran, Iran baru-baru ini berkata keluaran Proton seperti Gen2 masih mencatat prestasi kukuh di sana, sekali gus mencerminkan kebolehpercayaan jenama itu.

“Iran mengharapkan kemasukan Proton dengan jumlah yang besar ke dalam pasaran itu,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA