Komited promosi Sarawak dan Sabah

Komited promosi Sarawak dan Sabah

KUCHING, 3 Jun – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan komited mempromosikan Sabah dan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan kepelbagaian produk pelancongan daripada tarikan berasaskan ekopelancongan, pengalaman pelbagai budaya, acara dan perayaan.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata antara usaha yang dilaksanakan ialah menerusi jalinan usaha sama strategik dengan syarikat penerbangan untuk mempromosi Sabah dan Sarawak sebagai destinasi pelancongan.

Katanya usaha pertama yang dilaksanakan Tourism Malaysia menerusi memorandum persefahaman (MoU) dengan Singapore Airlines (SIA) di Bursa Pelancongan Antarabangsa Berlin, Mac lalu bagi membawa masuk lebih ramai pelancong Eropah ke Malaysia pada tahun ini.

“Sarawak dan Sabah merupakan produk pelancongan ikonik Malaysia yang sentiasa menarik perhatian pelancong. Mereka nak lihat keindahan semula jadi, kebudayaan yang mempunyai sedikit adventure dan kalau di Malaysia ini Sabah dan Sarawaklah dapat menawarkan apa yang dikehendaki mereka.

“Kerjasama antara Tourism Malaysia dengan SIA yang dilancarkan pada Mac lalu sudah menunjukkan keberhasilan, saya difahamkan bahawa ramai pelancong Eropah datang ke Sabah dan Sarawak terus tanpa perlu berhenti di Semenanjung,” katanya.

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (kiri) turut sama menari tarian ritual –’Sigar Nyikoh Jojak’ ketika menghadiri Majlis Hari Gawai Pelancongan 2016 di Dayak Bidayuh National Association (DBNA) malam tadi. – Bernama
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (kiri) turut sama menari tarian ritual –’Sigar Nyikoh Jojak’ ketika menghadiri Majlis Hari Gawai Pelancongan 2016 di Dayak Bidayuh National Association (DBNA) malam tadi. – Bernama

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Hari Gawai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bersama Kementerian Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Sarawak di Dewan Serbaguna Dayak Bidayuh National Association (DBNA) di sini malam tadi.

Mohamed Nazri berkata selain usaha sama strategik dengan syarikat penerbangan antarabangsa, kementerian itu juga mempunyai hubungan yang baik dengan syarikat penerbangan Air Asia.

“Kami juga ada kerjasama yang baik dengan Air Asia…mereka telah adakan penerbangan cukup banyak antara China dengan Malaysia. Kami menyasarkan pada tahun ini sejumlah empat juta pelancong daripada negara itu datang ke negara ini.

“Kami harapkan Air Asia untuk terbangkan pelancong ini dan mereka merupakan pelancong yang berkemampuan (untuk berbelanja). Inilah antara usaha-usaha yang saya lakukan untuk mempromosikan Sabah dan Sarawak terutama kepada pelancong dari China kerana mereka akan datang terus ke kedua-dua negeri ini kerana lebih dekat tanpa perlu terbang ke Kuala Lumpur,” katanya. – Bernama