Komited sajikan hidangan berkualiti

Komited sajikan hidangan berkualiti

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Bufet Sungkai menjadi pilihan ketua keluarga bukan sahaja bagi memudahkan kerja bagi orang rumah malah menjadi platform mengeratkan silaturahim dan hubungan kekeluargaan.

“Selain itu ia menjadi cara terbaik untuk ahli keluarga menikmati jamuan paling mudah dan cepat, dan saya percaya di mana-mana tempat yang menawarkan Bufet Sungkai pastikan akan menyediakan tempat bersolat maghrib dan jika bersungkai di rumah pastinya orang rumah akan terpaksa mengerjakannya sedikit lewat,” ujar Ketua Cef Emperor’s Court dan Restoran Dynasty, Chef Wong.

Perkara itu adalah perkara biasa dan sering didengarnya daripada pelanggan yang datang ke sana, tambah beliau semasa ditemui pada Resepsi Media Bufet Sungkai bagi Emperor’s Courts di The Hua Ho Manggis Mall, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa mana-mana restoran di bawah nama Royal Brunei Catering (RBC) terus komited menyediakan makanan segar dan baru bagi memastikan pelanggan berasa puas hati dengan nilai yang dibayar.

“Kami hanya akan mula menyediakan masakan jam 5 petang dan ketika itu dapur kami seakan-akan berperang bagi menepati masa 6 petang untuk mengeluarkan semua makanan di meja pameran di luar,” ujarnya.

Pelanggan memilih Dim Sum yang disajikan dalam Bufet Sungkai di Emperor’s Courts.
Pelanggan memilih Dim Sum yang disajikan dalam Bufet Sungkai di Emperor’s Courts.
Seorang kanak-kanak kelihatan tertarik dengan pekerja menyediakan hidangan.
Seorang kanak-kanak kelihatan tertarik dengan pekerja menyediakan hidangan.

Ditanya kenapa perlu melewatkan masa memasak, beliau menjelaskan makanan yang dimasak bukan semua yang jenis tahan lama dan ada yang perlu disajikan dalam keadaan panas dan ini menjadi cabaran besar.

“Melihat kepada perkara itu, kami akan terus komited memastikan harapan pelanggan akan kualiti makanan yang kami sajikan sentiasa di tahap standard yang telah ditetapkan RBC dan ia akan menjadi amalan kami berterusan,” tegasnya kepada Media Permata.

Tahun ini merupakan kali ketiga Emperor’s Court mengadakan promosi Bufet Sungkai dengan menampilkan pelbagai juadah seperti Braised Lamb Shank with Homemade Sauce, Steam Fish Fillet with Nyonya Sauce dan Wok Fried Butter prawn with Egg Floss”

Selain daripada itu, terdapat juga pondok berasingan yang menyajikan Dim Sum, Mi Tom Yam, sate, kambing panggang, kek lobak, hidangan pembuka selera seperti sup cina, barisan salad sehingga ulam-ulaman dan hidangan pencuci mulut. Di bahagian tengah pula disajikan dua jenis kordial, kaunter ais batu campur dan kaunter minuman panas yang menjadi tumpuan pelanggan setelah selesai menjamu selera.

ARTIKEL YANG SAMA