Komited sedia perlindungan sosial yang inklusif

Komited sedia perlindungan sosial yang inklusif

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus komited untuk menyediakan perlindungan sosial yang universal, inklusif dan mapan, terutamanya untuk kanak-kanak yang merupakan prinsip utama Strategi Jaminan Sosial Negara Brunei Darussalam.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, berkata, penyediaan perlindungan sosial adalah wadah kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk memastikan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam termasuk kanak-kanak dapat menjalani kehidupan yang berkualiti dengan mempunyai akses kepada keperluan asas dan diberikan perlindungan sepanjang hayat, mengikut prinsip-prinsip agama Islam.

Menurutnya, penyediaan perlindungan sosial adalah wadah kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memastikan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam termasuk kanak-kanak dapat menjalani kehidupan yang berkualiti dengan mempunyai akses kepada keperluan asas dan diberikan perlindungan sepanjang hayat, mengikut prinsip-prinsip agama Islam.

Yang Berhormat Pehin menekankan perkara ini semasa menjadi salah seorang ahli panel dalam Forum Perlindungan Sosial Untuk Kanak-Kanak, Wanita dan Keluarga, pada Mesyuarat Peringkat Tinggi Kerjasama Selatan-selatan bagi Hak Kanak-kanak di Asia Pasifik kali ketiga yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Mesyuarat selama tiga hari itu memfokuskan kepada aspek pembangunan sosial yang inklusif dan lebih penting lagi, pertumbuhan ekonomi yang saksama bergantung kepada pelaburan dalam modal kognitif generasi masa depan, iaitu kanak-kanak yang menjadi tema utama mesyuarat.

Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama delegasi Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat Peringkat Tinggi Kerjasama Selatan-selatan bagi Hak Kanak-kanak di Asia Pasifik kali ketiga di Kuala Lumpur, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama delegasi Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat Peringkat Tinggi Kerjasama Selatan-selatan bagi Hak Kanak-kanak di Asia Pasifik kali ketiga di Kuala Lumpur, kelmarin.

Mesyuarat berkenaan menekankan betapa pentingnya pelaburan dalam 1,000 hari pertama kehidupan, bagi menghasilkan modal kognitif yang optimum, ke arah pengukuhan ekonomi dan kemakmuran negara.

Hasil penyelidikan telah membuktikan bahawa pulangan pelaburan ini mempunyai potensi yang tinggi. Modal kognitif atau cognitive capital adalah kemahiran-kemahiran yang membolehkan seseorang itu menjadi kreatif, resilien, produktif dan boleh menyumbang kepada pembangunan negara, dan ianya adalah hasil daripada perkembangan otak yang optimum.

Yang Berhormat Pehin selaku peneraju bersama Strategi Jaminan Sosial di bawah Wawasan Brunei 2035 dan pengerusi Majlis Kebangsaan Isu Sosial, meyakinkan mesyuarat bahawa Brunei Darussalam akan menggembleng sumber-sumber yang bersesuaian dan mensejajarkan semua program dan inisiatif perlindungan sosial yang memfokuskan kanak-kanak dalam Pelan Tindakan Kebangsaan Kanak-Kanak dengan menggunakan kaedah Whole of Government dan Whole of Society.

Forum berkenaan juga mengongsikan amalan-amalan terbaik berkaitan dengan dasar dan pelaksanaan perlindungan sosial serta membincangkan tindakan-tindakan yang diperlukan bagi mempercepatkan pencapaian Matlamat Pembangunan Mapan di kalangan negara-negara yang hadir.

Forum ini juga menekankan bahawa perlindungan sosial yang sesuai boleh membantu para penjaga memupuk modal kognitif kanak-kanak dalam persekitaran yang lebih kondusif.

Selain forum ini, dua forum lain turut diadakan sewaktu Mesyuarat Peringkat Tinggi ini bagi mendapatkan komitmen semua negara untuk mewujudkan persekitaran yang sesuai agar kanak-kanak dapat berkembang secara optima.

Forum kedua mengenai Pencegahan Keganasan Terhadap Kanak-Kanak telah menekankan bahawa setiap negara perlu memperkukuhkan lagi komitmen mereka dalam mencegah keganasan terhadap kanak-kanak.

Ini adalah kerana kajian telah membuktikan bahawa keganasan yang berlaku semasa usia muda dan di zaman kanak-kanak mempunyai kesan jangka masa panjang, bukan sahaja terhadap kesejahteraan individu, malahan boleh menjejaskan modal kognitif dan perkembangan otak kanak-kanak tersebut.

Forum ketiga mengenai Liputan Penjagaan Kesihatan Menyeluruh (Universal Health Coverage) pula telah menekankan adalah penting bagi setiap negara menyediakan penjagaan kesihatan yang saksama kepada semua demi perkembangan kanak-kanak yang terbaik.

Mesyuarat itu juga telah mendengar pembentangan mengenai Innovation Challenge Finalists and Judging serta meninjau Market Booths for South–South Experience Sharing of Good Applicable Practices yang berkaitan dengan tema mesyuarat.

Mesyuarat anjuran bersama oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Malaysia dan United Nations Fund for Children (UNICEF) itu dirasmikan oleh Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Malaysia, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Hadir mengiringi Yang Berhormat Pehin ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha; Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan pegawai-pegawai kanan KKBS.

ARTIKEL YANG SAMA