Komited tawar harga berpatutan

Komited tawar harga berpatutan

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Syarikat makanan dan minuman terbesar Malaysia, Nestle (Malaysia) Bhd komited untuk menawarkan harga paling berpatutan untuk produknya walaupun kos komoditi meningkat dan ringgit semakin susut.

Pengarah Urusan, Alois Hofbauer berkata, gergasi makanan itu akan berusaha agar harga terus stabil atau menaikkannya dengan jumlah paling minimum jika tiada pilihan lain diperoleh.

“Sejak dua tahun lalu, harga produk kami stabil kerana kami berusaha meningkatkan kecekapan dalaman serta mengelak pembaziran bagi memastikan kami menghasilkan produk secara paling jimat kos serta cekap,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Hofbauer berkata, Kumpulan Nestle membuat pembelian secara pukal dan mempunyai keupayaan untuk mengurus harga bahan mentah dan kewangan melalui lindung nilai.

“Kami melakukan lindung nilai bagi tempoh antara satu hingga 12 bulan,” jelasnya.

Alois Hofbauer memberitahu Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini bahawa syarikat itu komited untuk menawarkan harga paling berpatutan untuk produknya. – Bernama
Alois Hofbauer memberitahu Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini bahawa syarikat itu komited untuk menawarkan harga paling berpatutan untuk produknya. – Bernama

Hofbauer berkata, bahan mentah yang digunakan untuk kilang pengeluaran Nestle Malaysia, termasuk bahan import seperti susu tepung, kopi dan koko.

Menurutnya, Nestle Malaysia memberi perhatian kepada kua-liti produk melalui pelaburan besar dalam teknologi, inovasi dan sumber manusia.

Hofbauer berkata, 25 peratus produk yang dihasilkan di kilang pengeluaran Nestle Malaysia adalah untuk eksport.

“Kami bukan selalunya yang termurah tetapi anda boleh percaya dari segi kualiti, kesihatan dan pemakanan, produk kami adalah yang terbaik di pasaran,” katanya.

Sejajar dengan aspek kesihatan dan pemakanan, katanya, kandungan gula dan garam dalam produk paling laris seperti Milo dan Maggi telah dikurangkan dengan banyak.

Mengenai perniagaan e-dagang kumpulan tersebut, Hofbauer berkata, Nestle Malaysia merancang menawarkan platform dalam talian bagi memudahkan pengguna membuat belian.

Nestle Malaysia baru-baru ini melancarkan kempen e-dagang dengan mewujudkan perkongsian dengan peruncit dalam talian Lazada dan 11street.

“Kami mahu memastikan harga di kedai dalam talian dan juga runcit adalah kompetitif.

“Harga tidak boleh menjadi sebab utama anda beli-belah dalam talian kerana terdapat ciri-ciri penggalakan pemasaran yang menentukan harga,” tambah beliau. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA