Komited tingkatkan kerjasama telekomunikasi, IT

Komited tingkatkan kerjasama telekomunikasi, IT

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Ahli-ahli delegasi dari negara-negara anggota ASEAN dan rakan-rakan dialog menyatakan sokongan untuk terus meningkatkan dan mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang telekomunikasi dan IT semasa Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Telekomunikasi dan IT ASEAN ke-17 (TELSOM ke-17) dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

Mesyuarat TELSOM ke-17 yang bermula pada 22 hingga 24 November, menyaksikan perbincangan diteruskan di antara ahli delegasi TELSOM ASEAN bersama rakan-rakan dialog iaitu Republik Korea, International Telecommunications Union (ITU) dan Kesatuan Eropah (EU) di mana mesyuarat-mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad, selaku Pengerusi Mesyuarat TELSOM ke-17.

Semasa Mesyuarat TELSOM ASEAN dengan Republik Korea, mesyuarat membincangkan mengenai kegiatan-kegiatan yang dilaksanakan di bawah kerjasama ICT ASEAN-ROK bagi 2016, di mana di antaranya ialah pengembangan teknologi dan perkhidmatan baru, pembangunan kapasiti, perkongsian ilmu pengetahuan, pembangunan infrastruktur ICT, memperkasakan wanita menerusi ICT serta pembangunan aplikasi mudah alih.

Di samping itu, kedua-dua belah pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai bidang-bidang kerjasama yang boleh diterokai bersama oleh ASEAN dan Korea termasuk Projek Inovasi, kesalinghubungan, pembangunan sumber manusia dan ICT hijau.

TELSOM ASEAN turut menyokong cadangan Pelan Kerja ICT ASEAN-ROK 2017 dan mengalu-alukan kerjasama di bawah Kerjasama ICT ASEAN-Korea 2017-2021 yang selaras dengan teras strategik Pelan Induk ICT ASEAN 2020.

Haji Azhar yang mempengerusikan bersama mesyuarat TELSOM ke-17.
Haji Azhar yang mempengerusikan bersama mesyuarat TELSOM ke-17.

Sementara itu, dalam mesyuarat juga di antara TELCOM ASEAN dan ITU, mesyuarat diberikan penerangan mengenai perkembangan terkini kerjasama dan kegiatan yang dilaksanakan oleh kedua-dua belah pihak termasuk pembangunan Rangka Kerja Strategi ASEAN bagi Perlindungan Kanak-Kanak Atas Talian dan juga Forum ASEAN-ITU bagi Perlindungan Kanak-Kanak Atas Talian.

Para delegasi turut diberikan taklimat mengenai dengan cadangan kegiatan bersama ASEAN-ITU bagi 2017 termasuk Rangka Kerja Strategi ASEAN bagi Perlindungan Kanak-kanak Atas Talian dan Projek-projek Kerjasama Bandar Raya Pintar.

Mesyuarat berakhir dengan kesemua negara anggota ASEAN menyatakan penghargaan di atas sokongan berkenaan ITU kepada ASEAN khususnya dalam menyokong inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Induk ICT ASEAN serta berharap persahabatan ASEAN-ITU akan terus dikukuhkan menerusi kerjasama yang lebih banyak di masa akan datang.

Manakala itu, semasa Mesyuarat TELSOM ASEAN bersama EU, para delegasi diberikan taklimat mengenai dengan pelancaran Pelan Induk ICT ASEAN 2020 yang menjadi pelan tindakan bagi TELSOM untuk mencapai visi dan matlamat untuk meningkatkan pembangunan ICT ASEAN dalam tempoh 5 tahun.

Di samping itu, TELSOM ASEAN turut mengalu-alukan projek kerjasama di antara EU dan ASEAN dalam pelaksanaan AIM 2020. Delegasi EU semasa mesyuarat berkenaan memberikan penerangan mengenai dengan status inisiatif satu pasaran digital EU yang merupakan strategi dalam memastikan pergerakan penduduk, perkhidmatan dan kapital yang bebas di mana individu serta perniagaan boleh mendapatkan akses dan melakukan kegiatan atas talian di bawah suasana persaingan saksama dan perlindungan data peribadi dan pengguna yang tinggi.

Selain daripada itu, mesyuarat berkenaan juga mendengar mengenai dengan cadangan kegiatan-kegiatan bersama ASEAN-EU bagi 2017 di mana kedua-dua belah pihak bertukar-tukar pandangan mengenai bidang kerjasama yang berpotensi. Mesyuarat TELSOM ASEAN ke-17 berakhir dengan para delegasi bersetuju mengangkat Laporan TELSOM ASEAN Ke-17 yang akan disokong oleh Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat ASEAN ke-16 (TELMIN ke-16) yang akan berlangsung pada 25 November.

ARTIKEL YANG SAMA