Komited untuk kestabilan serantau

Komited untuk kestabilan serantau

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Penglibatan negara dalam bidang kerjasama pertahanan dan ketenteraan menerusi latihan bersepadu semasa Eksesais Sekuriti Maritim dan Pencegahan Pengganasan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM Plus-MS &CT) merupakan satu sumbangan terbesar yang dapat membantu negara-negara ASEAN dan rakan-rakan dialog dirantau Asia Pasifik untuk sama-sama meraih keamanan, kestabilan dan kemakmuran.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bertitah menegaskan, ADMM dan ADMM Plus adalah satu tanda komitmen dan kemampuan negara dalam usaha memperkukuh kedudukannya di tengah-tengah landskap keselamatan yang bersifat dinamik. Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah demikian semasa berkenan berangkat ke upacara Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-55 yang berlangsung di Akademi Pertahanan ABDB, Kampung Tanah Jambu di sini, pagi ini.

Berangkat sama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral ABDB dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Baginda Sultan dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mencuba menggunakan salah satu senjata semasa berangkat menyaksikan statik sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-55 kelmarin.
Baginda Sultan dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mencuba menggunakan salah satu senjata semasa berangkat menyaksikan statik sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-55 kelmarin.

pg03_160601_c

Menyentuh mengenai Akademi Pertahanan, Baginda Sultan menekankan perlunya akademi berkenaan untuk terus merancang dan melebarkan skop pembelajarannya ke arah melahirkan pegawai-pegawai tentera yang berkualiti di peringkat taktikal, operasi, bidang strategik.

Semua ini tegas Baginda penting untuk menghadapi Contemporary Operating Environment yang serba mencabar dan tidak menentu.

Menurut Baginda, dunia kita pada hari ini sedang berhadapan dengan pelbagai ancaman yang bersifat merentas sempadan.

“Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali daripada kemungkinan menghadapi ancaman-ancaman keselamatan berbentuk tradisional dan bukan tradisional seperti pengganasan, keselamatan maritim dan siber serta bencana alam. Di sinilah perlunya, kerjasama daripada pelbagai pihak bukan sahaja di antara agensi-agensi keselamatan dalam negara malahan juga kerjasama di peringkat keselamatan antarabangsa.”

Oleh itu, titah Baginda, prosedur dan tatacara yang terbaik, perkongsian pengetahuan dan kemahiran melalui perlaksanaan latihan-latihan dua hala dari berbagai hala sentiasa penting untuk di ‘review’ supaya selamanya relevan.

“Beta sedia mengambil maklum bahawa ABDB telah pun meningkatkan usaha-usaha dari segi Diplomasi Pertahanan antaranya menerusi kerjasama melalui latihan bersepadu Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus dan Maritime Security and Counter-Terrorism Exercise yang telah berjaya dilaksanakan pada awal bulan ini.

“Selain itu, talian hotline atau juga dikenali sebagai ‘direct communications link’ di antara Menteri-menteri Pertahanan ASEAN akan juga dilancarkan pada tahun ini.”

ADMM dan ADMM Plus, tegas Baginda adalah merupakan satu tanda komitmen dan kemampuan kita dalam usaha memperkukuh kedudukan negara di tengah-tengah landskap keselamatan yang bersifat dinamik.

Ianya juga turut mencerminkan bahawa sungguhpun Brunei cuma sebuah negara kecil namun kita juga mampu untuk menyumbang bagi keselamatan di rantau ini dan menyediakan satu landasan pelbagai kerjasama di dalam bidang pertahanan dan ketenteraan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah bahawa tidak diragukan lagi, ini adalah satu sumbangan terbesar yang dapat membantu negara-negara ASEAN dan rakan-rakan dialog di rantau Asia Pasifik untuk sama-sama meraih keamanan, kestabilan dan kemakmuran.

Baginda juga bertitah menekankan supaya ABDB akan terus meningkatkan keupayaan dan di waktu yang sama Kementerian Pertahanan perlu terus menyesuaikan semua hala tujunya.

“Alhamdulillah, keupayaan ABDB pada masa ini dapat dikenal pasti melalui perolehan peralatan-peralatan ketenteraan yang canggih dan terkini yang kita miliki.

“Namun ini bukanlah titik noktah untuk kita berhenti daripada terus meningkat. Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan tetap perlu untuk terus menyesuaikan semua hala tuju perancangan, perkembangan dan penyelidikannya mengikut keperluan dan keutamaan.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengakhiri titah dengan mengucapkan syabas kepada mereka menyertai perbarisan pada pagi ini dan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun ABDB ke-55 kepada seluruh warga ABDB dalam dan luar negara sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang sudah bersara.

ARTIKEL YANG SAMA