Komitmen kerjasama keselamatan

Komitmen kerjasama keselamatan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Kerjasama Latihan dan Kesediaan Apungan (CARAT) yang ke-21 antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Angkatan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dilancarkan hari ini oleh Pemerintah Logistik Kumpulan Pasifik Barat (COMLOGWESPAC), Task Force 31, Laksamana Muda Charles Williams.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Pusat Koordinasi Multinasional (MNCC) di Muara turut dihadiri Komander Pasukan Bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat serta Duta Besar Amerika Syarikat di negara ini, Tuan Yang Terutama Craig Allen.

CARAT kali ini memberikan tumpuan kepada mempertingkatkan hubungan kerjasama serantau, membina persahabatan dan memperkukuhkan kemahiran dalam kalangan anggota kedua-dua angkatan bersenjata. Latihan kali ini akan melibatkan anggota dan aset daripada ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Darat, Laut dan Udara yang akan diketuai oleh Komander Shamsul Bahren bin Haji Taweh dari Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei dan Kapten H. B. Le yang merupakan Laksamana Pertama bagi Destroyer Squadron 7’s daripada Angkatan Tentera Laut Amerika Syarikat.

Dalam latihan itu nanti pelbagai jurusan akan turut terlibat di laut, darat dan udara seperti yang dirancang termasuk Operasi Ketenteraan di Kawasan Bandar (MOUT), Latihan Mencari dan Menyelamat Udara (SAR).

Selain itu, turut diadakan ialah simposium berkaitan dengan operasi ketenteraan dan undang-undang antarabangsa, penyelenggaraan udara dan perhubungan awam serta program interaksi seperti Projek Perkhidmatan Kemasyarakatan (COMSERVE) dan persembahan kugiran di sepanjang minggu latihan CARAT ini nanti.

Brigadier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bergambar ramai bersama Laksamana Muda Charles Williams dan TYT Craig Allen.
Brigadier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bergambar ramai bersama Laksamana Muda Charles Williams dan TYT Craig Allen.
Laksamana Muda Charles Williams melancarkan eksesais Kerjasama Latihan dan Kesediaan Apungan (CARAT) yang ke-21.
Laksamana Muda Charles Williams melancarkan eksesais Kerjasama Latihan dan Kesediaan Apungan (CARAT) yang ke-21.
Laksamana Muda Charles Williams ketika menyampaikan ucapan.
Laksamana Muda Charles Williams ketika menyampaikan ucapan.
Brigadier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah menyampaikan cenderamata kepada tetamu kehormat Laksamana Muda Charles Williams.
Brigadier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah menyampaikan cenderamata kepada tetamu kehormat Laksamana Muda Charles Williams.
Para jemputan yang hadir ke majlis berkenaan.
Para jemputan yang hadir ke majlis berkenaan.

Dalam kenyataan Task Force 73 hari ini, Laksamana Muda Charlie William menegaskan kedua-dua pihak berkongsi komitmen yang sama dalam kerjasama keselamatan yang pasti akan menyumbang kepada kestabilan dan keamanan di rantau ini.

“Kami (AS dan Brunei Darussalam) akan terus mendapat kelebihan daripada hubungan maritim yang baik yang akan membolehkan kedua-dua pihak mempertingkatkan lagi kompleksiti dan mempertingkatkan lagi hubungan dalam operasi antara kedua-dua angkatan melalui latihan,” ujarnya lagi.

Antara kemuncak dalam latihan kali ini adalah penampilan Helikopter Sikorsky S-70i Black Hawk milik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang akan mendarat di atas Kapal Perang USS Lassen (DDG 82).

Sementara itu, Helikopter MH-60R milik Angkatan Tentera Laut AS pula akan membuat pendaratan di atas Kapal Perang Darul Ehsan Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei di samping pemantauan udara oleh A P-8A Poseidon yang akan di sisi pesawat pemantauan milik Angkatan Tentera Udara Diraja Brunei.

Sebagai tambahan, turut terlibat dalam latihan kali ini adalah dengan penampilan buat julung-julung kalinya bukan sahaja di negara ini malah di rantau ini iaitu sebuah kapal pengangkutan pantas AS iaitu USNS Millinocket (T-EPF 3). Di darat pula Angkatan Tentera AS daripada 3rd Law Enforcement Battalion (3rd LEB) akan bersama Angkatan Tentera Darat Diraja Brunei dalam operasi latihan di dalam hutan selama empat hari dan Unit ke-15 Marine Expeditionary AS pula akan menjalani latihan menggunakan Amphibious Transport Dock USS Anchorage (LPD 23) di dalam MOUT.

ARTIKEL YANG SAMA