Komitmen kurang pelepasan karbon

Komitmen kurang pelepasan karbon

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) – Malaysia diunjur mencapai pengurangan intensiti gas rumah hijau kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 35 peratus menjelang akhir tahun, selari dengan komitmen negara untuk mengurangkan pelepasan karbon sehingga 40 peratus menjelang 2020.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini menunjukkan usaha negara untuk mencapai pembangunan lestari, termasuk pelepasan tahap rendah, dan pada masa yang sama menangani kesan akibat perubahan iklim.

“Dalam persediaan negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kita perlu menyesuaikan dengan ekonomi yang memberikan keseimbangan tepat antara pendekatan hijau dan properniagaan.

“Jelas kedua-duanya boleh digabungkan menerusi pengenalan teknologi hijau yang baharu. Ia berpotensi besar untuk memacu pertumbuhan dan meningkatkan kebajikan rakyat,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berucap pada Persidangan dan Pameran Antarabangsa ke-6 Teknologi Hijau dan Produk-Eko 2015, di sini, hari ini.

Pada Disember 2009, Najib membuat ikrar di Copenhagen bahawa Malaysia akan mengguna pakai secara sukarela petunjuk untuk mengurangkan sehingga 40 peratus intensiti pelepasan kepada KDNK menjelang 2020 berbanding paras yang direkodkan pada 2005.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kitar semula akan membawa banyak manfaat kepada ekonomi kerana ia mewujudkan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan baharu, menjana pendapatan menerusi jualan barangan kitar semula dan membantu negara melindungi sumber mentahnya.

“Malaysia sewajarnya mampu mengitar semula 40 peratus sisa buangannya menjelang 2020 berbanding 14 peratus sekarang. Ini akan memberi manfaat ekonomi dalam bentuk penjimatan RM500 juta dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Najib berkata perniagaan hijau dijangka menyumbang lebih RM22 bilion kepada KDNK negara menjelang 2020, dan RM60 bilion menjelang 2030.

ARTIKEL YANG SAMA