Komitmen pasukan hoki negara membanggakan

Komitmen pasukan hoki negara membanggakan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Semangat perjuangan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan para pemain hoki negara amat membanggakan, meskipun berada antara pasukan yang tercorot dalam carta kedudukan sukan hoki antarabangsa.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Jurulatih Sukan Hoki Kebangsaan Lelaki dan Wanita 2016, Shaiful Azli Abdul Rahman kepada Media Permata selepas berakhirnya Majlis Penghargaan Hoki yang berlangsung di Restoran Rovansil, Berakas semalam.

“Jika dilihat daripada kedudukan pasukan negara di dalam carta kedudukan sukan hoki antarabangsa, kita berada dalam antara pasukan yang tercorot namun kita berjaya memberikan saingan kepada negara yang jauh di atas carta dalam kejohanan berkenaan,” tegasnya.

Pasukan negara antaranya berhadapan dengan pasukan yang berada di tangga ke-19 dunia iaitu China dan negara yang sememangnya mempunyai rekod sukan hoki yang memberangsangkan seperti Sri Lanka dalam kejohanan yang diadakan di Kota Singapura itu.

“Apa yang perlu kita buat sekarang adalah memberikan peluang kepada mereka (para pemain) terus berjuang, peminat dan pentadbir perlu sabar kerana untuk memastikan kejayaan masa dan usaha adalah isu utama,” tambahnya lagi.

Gambar ramai pasukan hoki kebangsaan lelaki dan perempuan bersama barisan jurulatih dan Presiden Persatuan Hoki Kebangsaan Brunei Darussalam pada majlis itu.
Gambar ramai pasukan hoki kebangsaan lelaki dan perempuan bersama barisan jurulatih dan Presiden Persatuan Hoki Kebangsaan Brunei Darussalam pada majlis itu.

Jelas beliau “untuk menjadikan sebuah pasukan yang mantap ia adalah satu usaha yang memakan masa dan pada saya yang diperlukan adalah sekurang-kurangnya empat tahun dan ia bukan hanya bagi sukan hoki sahaja malah mana-mana sukan di dunia.”

Mengulas mengenai prestasi pemain dan pencapaian dalam kejohanan itu katanya para pemain menunjukkan semangat juang dan pengorbanan yang tinggi kerana selepas lapan tahun tanpa penyertaan antarabangsa, pemain negara mampu memberikan saingan yang seimbang ketika berhadapan pasukan besar meskipun kurang berjaya mendapatkan penyudah.

“Kedua-dua pasukan menunjukkan pencapaian yang terbaik dan kita banyak membuka peluang untuk menjaringkan gol sambil mengawal perlawanan berbanding pasukan yang lebih berpengalaman,” ujarnya lagi.

Keadaan cuaca panas di sana mencecah 46 darjah celsius dan jadual pasukan lelaki pada jam 2:30 petang antara cabaran besar di Singapura dan menegaskan “Namun kita berjaya menamatkan perlawanan dan ia membuktikan kemampuan kita sebenar untuk memberikan saingan.”

Beliau juga berkata Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur 2017 adalah sasaran utama skuad negara dan beliau dan anak-anak buahnya akan berusaha sedaya mungkin bagi mendapatkan keputusan yang terbaik yang disepakati seluruh warga pemain hoki kebangsaan.

Mengulas mengenai pemain pula, katanya setakat ini pemain masih dikekalkan namun sedikit masa lagi persatuan akan mengadakan pencarian pemain melalui liga yang akan diadakan bagi mencari bakat baru yang boleh disalurkan ke skuad hoki kebangsaan.

“Buat seluruh warga pemain dan pengurusan, kalian telah menunjukkan komitmen dan pengorbanan yang sangat tinggi daripada semua dan syabas kepada semua dan komitmen awda dalam kejohanan yang baru sahaja kita lalui pada saya adalah yang terbaik terutama sekali dalam mengharumkan nama negara di kalangan pemain dan negara yang menyertai kejohanan itu,” jelasnya.

Terdahulu pada majlis penghargaan tersebut, satu majlis penyampaian hadiah kepada para pemain yang menunjukkan kecemerlangan dalam Pusingan Pertama Liga Hoki Dunia pada 9 hingga 17 April yang lalu di Singapura telah disampaikan oleh Presiden Persatuan Hoki Brunei Darussalam, Pengiran Hassan bin Pengiran Haji Hashim dan jurulatih hoki kebangsaan negara.

Majlis tersebut dipengerusikan oleh Pengurus Sukan Hoki Kebangsaan Lelaki 2016, Mohammad Affendi Abdul Rahman dan Pengurus Sukan Hoki Kebangsaan Wanita 2016, Hajah Norhayati Haji Latip.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian hadiah dan cenderahati penghargaan kepada Jurulatih, Jurulatih penjaga gawang Sukan Hoki Lelaki dan Wanita 2016, Henry Jonathan baker dan Presiden Persatuan Hoki Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang juga merupakan ketua kontinjen hoki negara dalam kejohanan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA