Komitmen terhadap kemakmuran sejagat

RANAU, 10 Sept – Sambutan Hari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) di peringkat kebangsaan menjadi wadah negara untuk kekal komited terhadap kemakmuran sejagat, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, komitmen Malaysia terhadap misi UNESCO itu dizahirkan melalui Program Kerjasama Malaysia-UNESCO (MUCP) dan penubuhan tabung Malaysia-UNESCO Funds-in-Trust (MFIT) yang menjadi platform negara berkongsi kepakaran teknikal bersama negara anggota UNESCO.

“Sehingga tahun ini, bibit kerjasama MUCP-MFIT, yang dimeterai pada 2009, telah melaksanakan 19 projek meliputi spektrum kompetensi UNESCO iaitu pendidikan, saintifik dan kebudayaan,” katanya selaku presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) ketika melancarkan sambutan Hari UNESCO Malaysia 2017 di Kundasang dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun dalam ucapannya berkata pengisytiharan Taman Negara Kinabalu di kaki Gunung Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO menuntut masyarakat setempat untuk memberi penerangan yang betul kepada pengunjung mengenai adat di gunung tertinggi di Malaysia itu.

Menurutnya, masyarakat setempat lebih memahami adat setempat dan harus memainkan peranan dalam berhubung dengan pengunjung.

“Tahun lepas, Sabah menerima kira-kira 3.4 juta pelancong, yang mana separuh daripada jumlah itu datang ke Taman Kinabalu untuk melihat Gunung Kinabalu.

“Masyarakat setempat yang majoritinya daripada kaum Dusun boleh memainkan peranan untuk mendidik pelancong mengenai adat, bahasa dan usaha pemeliharaan alam sekitar di kawasan ini,” katanya.

Masidi berkata kerajaan Sabah sentiasa berusaha untuk memulihara dan mengekalkan alam semula jadi di negeri ini agar generasi masa depan dapat mengalaminya seperti yang dinikmati generasi sekarang. – Bernama