Komoditi Malaysia tarik minat China

Komoditi Malaysia tarik minat China

DONGGUAN, China, 28 Okt (Bernama) – Dongguan, bandar raya industri dan hab pembuatan penting China, berminat untuk mengimport lebih banyak komoditi dari Malaysia, terutama minyak sawit dan getah.

“Malaysia mempunyai banyak produk komoditi yang diperlukan Dongguan. Pada masa sama kami juga mempunyai banyak syarikat elektronik yang berminat meneroka pasaran Malaysia untuk produk mereka,” kata Datuk Bandar, Yuan Baocheng.

Oleh itu, bandar raya ini berminat untuk meningkatkan kerjasama dan perdagangan di antara Dongguan dan Malaysia, katanya pada sidang media sempena Ekspo Antarabangsa Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 Guangdong 2015 selama tiga hari yang bermula pada 29 Oktober.

Pertumbuhan Dongguan bergantung kepada sektor pembuatannya dan terkenal sebagai bandar raya progresif dalam mendapatkan pelaburan langsung asing.

Ini adalah kali kedua Dongguan, yang bersempadan dengan ibu negeri wilayah, iaitu Guangzhou di utara, Huizhou di timur laut, Shenzhen di selatan dan Pearl River di barat, menganjurkan ekspo itu.

Ekspo berkenaan, yang menarik 42 negara, termasuk Thailand, India, Malaysia, Laos dan Kemboja merancang meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan di antara Guangdong dan negara-negara di sepanjang laluan sutera maritim.

Yuan berkata, Malaysia kekal menjadi pempamer terbesar dengan 270 syarikat mengambil bahagian tahun ini dengan majoriti pempamer daripada sektor makanan dan minuman.

Mengulas mengenai usaha diambil bandar raya itu untuk menarik pelabur, beliau berkata, tahun lepas, wilayah itu melancarkan ‘Kempen Menggantikan Pekerja dengan Jentera’ bagi menangani peningkatan kos buruh dan meningkatkan kecekapan.

ARTIKEL YANG SAMA