Kompany: Citizen dahagakan kejayaan

Kompany: Citizen dahagakan kejayaan

KIEV, 25 Feb (Reuters) – Kapten Manchester City Vincent Kompany berkata mereka bermain seperti pasukan yang dahagakan kejayaan apabila kini hanya selangkah lagi untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas menewaskan Dynamo Kiev 3-1 dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik, awal semalam.

City tewas dalam tiga perlawanan terakhir, sekali gus mengakibatkan peluang untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris tampak sukar susulan kekalahan kepada Leicester City dan Tottenham Hotspur termasuk tersingkir daripada saingan Piala FA apabila tunduk di tangan Chelsea 1-5.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Manuel Pellegrini tampil dengan prestasi cemerlang di Kiev, sekali gus semakin hampir untuk berada dalam lapan kelompok terbaik. City gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir dalam dua musim sebelum ini selepas tewas di tangan Barcelona.

“Prestasi pasukan sangat baik, kemenangan 3-1 adalah keputusan yang baik dan kami gembira. Kami akan turun pada aksi kedua dengan peluang yang sangat cerah untuk mara ke suku akhir yang mana tidak terjadi sebelum ini. Kami seperti pasukan yang dahagakan kejayaan malam ini (awal semalam),” kata Kompany.

Tiga gol City dijaringkan oleh Sergio Aguero pada mini ke-15, David Silva (40) dan Yaya Toure (90) manakala gol sagu hati Dynamo hadir menerusi Vitaliy Buyalsky (58).

Vincent Kompany (kiri) bersaing dengan pemain Dynamo Kiev, Vitaliy Buyalsky dalam aksi Liga Juara-Juara di NSC Olimpiyskiy Stadium, Kiev kelmarin. – Reuters
Vincent Kompany (kiri) bersaing dengan pemain Dynamo Kiev, Vitaliy Buyalsky dalam aksi Liga Juara-Juara di NSC Olimpiyskiy Stadium, Kiev kelmarin. – Reuters

Selain goyah ketika Kiev cuba mengurangkan defisit, pengurus City Manuel Pellegrini yakin dengan persembahan pasukannya yang akan berhadapan Liverpool pada final Piala Liga di Wembley, Ahad ini.

“Mungkin ketika situasi 2-1 kami mempunyai detik-detik keraguan, tetapi kemudian kami mendapat gol ketiga,” kata Pellegrini.

“Adakah pertemuan ini selesai? Tidak. Adalah penting dalam bola sepak untuk tidak pernah fikir permainan itu selesai. Tetapi mendapat gol ketiga memberikan kami lebih keyakinan untuk perlawanan kedua.”

Walaupun jurulatih Dynamo, Serhiy Rebrov mengakui pasukannya kedua terbaik, tetapi berkata: “Malangnya, kami memang berhak untuk tewas malam ini (awal pagi tadi). Kami membenarkan mereka menunjukkan kekuatan sebenar dan membuat banyak kesilapan.

“Tidak kira apa jua yang kamu katakan sebelum perlawanan, saya dapat lihat pemain saya bimbang dalam bilik persalinan,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA