Kompany dibelenggu kecederaan

Kompany dibelenggu kecederaan

LEICESTER, 30 Dis – Selepas kecewa terikat tanpa jaringan dengan Leicester awal pagi tadi, Manchester City mendapat khabar buruk apabila mungkin kehilangan kapten pasukan, Vincent Kompany untuk tempoh lebih daripada empat minggu ekoran kecederaan betis.

Pengurus City, Manuel Pellegrini, berkata bek tengah dari Belgium itu berdepan satu lagi tempoh panjang di luar pasukan selepas turut berdepan kecederaan ketika menentang Sunderland pada aksi ‘Boxing Day’.

Kompany kembali sebagai pemain simpanan ketika berdepan Black Cats selepas enam minggu direhatkan kerana kecederaan betis dan dia hanya melihat aksi pasukannya menentang The Foxes dari tempat duduk penonton di Stadium King Power.

“Vincent berdepan kecederaan, tahap kedua daripada kecederaan betisnya,” kata Pellegrini. “Ia bukan kecederaan sama, tetapi betis yang sama dan di bahagian lain.

“Saya bukan seorang doktor tetapi secara normal, kecederaan otot paling tidak mengambil masa tiga atau empat minggu untuk pulih, terutama betis.

Vincent Kompany yang hanya bermain selama lapan minit ketika perlawanan menentang Sunderland. – Reuters
Vincent Kompany yang hanya bermain selama lapan minit ketika perlawanan menentang Sunderland. – Reuters

“Kami berharap dia mampu pulih secepat mungkin tetapi amat penting untuk kami mencari jalan penyelesaian bagi memperkuatkan kubu pertahanan seperti mana yang dilakukan dalam perlawanan ini.”

Anak buah Pellegrini kini merapatkan jurang kepada tiga mata dengan pendahulu carta Arsenal apabila meraih satu mata di Leicester manakala pasukan tuan rumah menyamai kutipan mata dengan The Gunners. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA