Kompany, Sterling bakal hadapi Newcastle

Kompany, Sterling bakal hadapi Newcastle

LONDON, 19 April (AFP) – Vincent Kompany dan Raheem Sterling dijangka kembali memperkuatkan kesebelasan utama Manchester City apabila berkunjung ke Newcastle United pagi esok, sekali gus meneruskan pemburuan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di kelompok empat teratas.

Kapten City, Kompany dijangka kembali diturunkan selepas sebulan terpaksa diketepikan susulan kecederaan betis yang menghantuinya sepanjang saingan musim ini.

Sementara itu, penyerang England, Sterling yang berehat lima perlawanan kerana kecederaan pangkal paha turut bersedia sepenuhnya untuk diturunkan sejak mengalami kecederaan itu ketika bertemu Manchester United, bulan lalu.

Kehadiran semula kedua-dua tonggak utama pasukan itu pastinya memberi suntikan semangat buat City yang akan bertemu gergasi Sepanyol, Real Madrid dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Eastland, minggu depan.

City dilihat longgar di bahagian pertahanan susulan ketiadaan Kompany biarpun Nicolas Otamendi dan Eliaquim Mangala menunjukkan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini.

Vincent Kompany (tengah) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di padang Akademi Bolasepak City di England pada 11 April lalu. – AP
Vincent Kompany (tengah) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di padang Akademi Bolasepak City di England pada 11 April lalu. – AP

“Saya gembira dengan corak permainan mereka ketika ini, kedua-duanya dan Kompany akan turut memainkan peranan penting bagi membantu benteng pertahanan,” kata pengurus Manuel Pellegrini yang tempatnya akan digantikan dengan Pep Guardiola musim depan.

“Saya sentiasa katakan, jika kami berjuang untuk perkara penting ia adalah kerana kami mempunyai skuad yang baik.

“Sterling baru pulih daripada kecederaan otot dan kami akan memantau perkembangannya jika dia boleh diturunkan atau pun tidak,” kata Pellegrini.

City menang tiga daripada empat perlawanan terakhir mereka termasuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara biarpun aksi cemerlang mereka ketika ini dianggap sudah terlambat bagi mencabar kejuaraan liga.

ARTIKEL YANG SAMA