Kompilasi puisi ‘Jambangan Kasih’

Kompilasi puisi ‘Jambangan Kasih’

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 tahun, seramai enam orang penyair tempatan akan melancarkan CD kompilasi puisi ‘Jambangan Kasih.’

CD kompilasi berkenaan mengandungi 11 puisi termasuk sebuah syair yang ditulis khas oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim atau dikenali dengan nama pena Ibnu ‘Abdir-Raheem, yang mana ia ditambang oleh Dayang Hawadah binti Haji Ramli.

Turut termuat dalam CD ini ialah karya Allahyarham Dato Paduka Haji Sumadi bin Haji Sukaimi yang dikenali dengan nama Kumala Negara, dan dideklamasikan oleh isteri Allahyarham, Raden Louise Anastasya.

Selain itu, para penyair yang turut menyumbangkan karya mereka ialah Sosonjan A. Khan atau dikenali dengan nama pena Sutera Kalbu, Hajah Sariani binti Haji Ishak atau lebih dikenali sebagai Sariani HI, Hajah Karmila binti Haji Sapar yang juga dikenali dengan nama Kris Karmila dalam jagat kepenyairan dan Hajah Zai HMT.

Menurut kenyataan daripada salah seorang penyair, Hajah Sariani, antara objektif CD ini dihasilkan adalah untuk menanamkan rasa cinta sebagai rakyat negara ini kepada raja serta sebagai cetusan rasa cinta kasih terhadap raja yang tersayang.

Sebagai golongan penulis dan penyair di Negara Brunei Darussalam, kelahiran CD Jambangan Kasih ini juga merupakan satu cara untuk menzahirkan rasa cinta kasih itu menerusi genre puisi dan syair yang mempunyai keindahan dan kehalusan madah dan kata.

CD ini akan dilancarkan pada 16 Ogos nanti dalam acara pentas perayaan di hadapan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, di ibu negara.

ARTIKEL YANG SAMA