Kompleks penapisan minyak henti operasi

Kompleks penapisan minyak henti operasi

CARACAS, 2 Okt (AFP) – Kompleks penapisan minyak terbesar Venezuela, dianggap salah satu yang terbesar di dunia, telah menghentikan operasi disebabkan kerosakan bekalan elektrik yang dikatakan oleh Presiden Nicolas Maduro berpunca daripada sabotaj.

Petroleos de Venezuela (PDVSA), monopoli minyak negara, berkata kerosakan elektrik berlaku pada pagi semalam di kompleks penapisan Amuay dan Cardon.

Ia berkata bekalan elektrik dipulihkan beberapa jam kemudian dan juruteknik sedang mengambil langkah untuk mengaktifkan semula kilang penapisan, namun memberi petunjuk ia akan mengambil beberapa hari untuk operasi kembali seperti biasa.

Stella Lugo, gabenor negeri Falcon, tempat terletaknya kilang penapis, memberitahu televisyen negeri “kedua-dua kilang penapis sudah menghentikan operasi.”

Kilang penapis Amuay dimusnahkan oleh satu letupan pada 25 Ogos 2012 yang membunuh 42 orang dan lima orang hilang.

PDVSA berkata bekalan elektrik terputus semalam di kilang penapis Amuay dan Cardon dan kawasan perumahan berhampiran, “tanpa mengakibatkan kebakaran atau kecederaan kepada pekerja.”

Dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen, Maduro menyalahkan bekalan elektrik terputus kepada pembangkang kerajaan, menghubungkannya dengan kejadian pada Rabu di sebuah kilang tenaga di barat negeri Zulia.

“Terdapatnya rancangan untuk mensabotaj perkhidmatan awam negara,” kata beliau.

Negara itu telah bergelut dengan kemelesetan ekonomi teruk, kekurangan makanan dan ubat, harga dan jenayah yang meningkat.

PDVSA memberikan jaminan bahawa penutupan tidak akan menjejaskan bekalan minyak di negara, berkata inventori yang ada sudah mencukupi untuk memenuhi permintaan.