Kompleks Tamu Kianggeh yang baru mula operasi

Kompleks Tamu Kianggeh yang baru mula operasi

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan memaklumkan bahawa Kompleks Tamu Sungai Kianggeh yang baru di ibu negara akan mula beroperasi pada 1 Jun 2016 ini, yang akan dibuka dari pukul 6 pagi hingga 6 petang.

Dalam kenyataannya, hari ini, jabatan berkenaan menjelaskan, kompleks tamu yang berkeluasan 4,450 meter persegi itu dibina dengan infrastruktur lebih moden dan teratur yang boleh meningkatkan suasana perniagaan dan penjaja yang lebih baik seterusnya dapat memberikan peningkatan kepada hasil perniagaan.

Selain itu, dapat memberikan pemandangan berniaga dan berjaja yang lebih bersih dan sihat serta memberikan keselesaan kepada peniaga, penjaja dan pelanggan dengan kawasan yang lebih luas.

Dengan wajah baru, kompleks Tamu Kianggeh akan dapat meningkatkan iklim perniagaan yang lebih mesra untuk semua pihak.

Pemandangan hadapan Kompleks Tamu Kianggeh yang baru siap dan mula beroperasi hari ini.
Pemandangan hadapan Kompleks Tamu Kianggeh yang baru siap dan mula beroperasi hari ini.

Kompleks tersebut menyediakan beberapa kemudahan, antaranya lapan blok bangunan yang menempatkan 313 buah bangku jualan selain bilik ibadat lelaki dan perempuan yang bukan saja memberi keselesaan kepada peniaga dan penjaja kompleks tamu berkenaan tapi juga kepada pengunjung yang datang ke kompleks berkenaan.

Selain itu, kompleks tersebut juga menyediakan pejabat pengurusan, bilik kawalan keselamatan Pasukan Polis Diraja Brunei, kawasan tempat duduk orang ramai, pondok sampah, tandas awam dan tempat penurunan perahu.

Daripada jumlah blok yang disediakan, lima blok bangunan menyediakan 147 bangku bagi menempatkan peniaga dan penjaja yang menggunakan petak kekal secara harian sementara tiga blok bangunan lagi menyediakan 164 bangku menempatkan penjaja setiap hari Jumaat dan Ahad.

Sehubungan itu, Jabatan Bandaran BSB berharap Kompleks Tamu Kianggeh yang baru itu akan menjadikan satu tarikan yang memberikan kemudahan kepada penjaja, pengunjung dan pelanggan untuk mendapatkan keperluan.