Kompleks wayang Wanda ditutup

Kompleks wayang Wanda ditutup

BEIJING, 2 Ogos – Konglomerat China Wanda telah menutup sebuah kompleks wayang ‘untuk pengubahsuaian’ hanya 19 bulan selepas ia beroperasi, katanya hari ini, sekali gus memberi tamparan kepada pelan pempelbagaian syarikat sejurus selepas membuka taman tema pertamanya.

Kompleks hiburan di tengah bandar Wuhan, dilancarkan pada Disember 2014 dan dilaporkan berharga 3.8 bilion yuen, ditutup pada Ahad, kata subsidiari Wanda yang mengurusnya dalam satu kenyataan kepada AFP.

Ia akan “dinaik taraf dan diubahsuai secara menyeluruh” untuk mempertingkat perkhidmatan sebelum dibuka semula, kata syarikat, tanpa memberikan tarikh.

Kompleks itu menerima pelawat harian yang “jauh lebih kurang” daripada 800-1,000 yang dijangka pada mulanya, kata akhbar tempatan Chutian Metropolis semalam, dengan pelancong mengadu mereka terpaksa beratur selama beberapa jam untuk setiap tarikan.

Wanda menyangkal laporan tersebut.

Dimiliki oleh jutawan Wang Jianlin, Wanda berusaha mengalih tumpuannya daripada harta kepada perkhidmatan dan hiburan tatkala keuntungan semakin merosot dalam sektor harta tanah.

“Era di mana anda boleh memperoleh wang dengan senang sudah lenyap. Inilah pertimbangan kami mengenai trend jangka panjang dalam sektor harta tanah,” kata Wang dalam satu ucapan pada tahun lalu. Pada Mei, ia melancarkan operasi di taman tema pertamanya bernilai AS$3.4 bilion di Nanchang.

ARTIKEL YANG SAMA