Komplot rampasan kuasa Turki ditahan

Komplot rampasan kuasa Turki ditahan

STANBUL, 17 Julai – Pihak berkuasa Turki menahan 6,000 orang termasuk seorang jeneral kanan tentera udara dan beberapa pegawai lain yang dituduh menyokong rampasan kuasa yang gagal bertujuan untuk menggulingkan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Brigadier Jeneral Bekir Ercan Van ditahan bersama belasan lagi pegawai rendah di Pangkalan Tentera Udara Incirlik di wilayah Adana, selatan Turki, akhbar-akhbar negara itu termasuk harian Hurriyet melaporkan sambil menambah mereka sedang disoal.

Seorang pegawai Turki memberitahu bahawa Ankara mengesyaki Incirlik telah digunakan untuk mengisi minyak pesawat tentera yang dirampas oleh komplot rampasan kuasa pada malam Jumaat.

Pangkalan berkenaan telah menjadi hab utama tentera AS selepas Turki tahun lepas bersetuju untuk membenarkan tentera AS untuk menggunakan Incirlik menjalankan serbuan ke atas pengganas di Syria.

Tetapi pihak berkuasa Turki mengenakan kawalan ketat di situ selepas rampasan kuasa sehingga tiada pergerakan masuk atau keluar dibenarkan, konsulat AS di Adana berkata.

Sementara itu, operasi dari pangkalan udara Incirlik digantung kerana penutupan ruang udara yang digunakan untuk misi, jurucakap Pentagon Peter Cook berkata dalam satu kenyataan.

Menurut kerajaan, 161 orang awam dan tentera biasa terkorban apabila sekumpulan dalam tentera berusaha untuk menumbangkan pihak berkuasa dengan merebut tempat-tempat strategik di Istanbul dan Ankara pada Jumaat mengakibatkan lebih 100 komplot rampasan kuasa terbunuh. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA