Komunikasi efektif penting

Komunikasi efektif penting

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Komunikasi yang efektif memerlukan sambungan atau perantaraan yang bukan sahaja jelas tetapi juga mampu difahami oleh kedua-dua belah pihak kerana komunikasi yang berkesan dapat membantu mencapai matlamat bersama bagi pelbagai agensi termasuk juga di antara organisasi pertahanan dan ketenteraan berlainan negara.

Penekanan mengenai komunikasi yang efektif itu diketengahkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit ketika berucap pada Majlis Pengijazahan Kursus Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-6 yang berlangsung di Akademi Pertahanan ABDB, Kampung Tanah Jambu, hari ini.

Beliau berkata, keberkesanan komunikasi itu merupakan salah satu hasil penting yang perlu dibawa bersama oleh para peserta kursus selain daripada pengetahuan profesional hal ehwal ketenteraan.

Beliau menambah bahawa para peserta kursus berada dalam kedudukan yang terbaik untuk menubuhkan asas bagi komunikasi yang efektif pada masa hadapan sama ada di antara agensi di Brunei atau di antara pelbagai angkatan tentera dalam kalangan negara-negara sahabat.

Beliau yakin bahawa rakan-rakan seperjuangan yang diperoleh menerusi penyertaan dalam kursus berkenaan merupakan nod yang mereka perlukan bagi menubuhkan komunikasi yang efektif di masa akan datang.

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menyampaikan ucapannya di majlis berkenaan.

Terdahulu daripada itu, beliau menyatakan bahawa suasana strategik global telah menjadi semakin kompleks di mana bagi sebilangan besar tentera di dunia, tugasan mereka telah berubah daripada hanya memenangi peperangan pada masa dahulu kepada sekarang di mana ancaman yang dihadapi adalah tidak jelas.

Dengan berlatarbelakangkan keadaan itu, kita harus lebih dinamik, berfikiran ke hadapan dan lebih saling berhubungan di antara satu sama yang lain, ulasnya lagi di mana rangkaian persahabatan adalah tidak kurang pentingnya dengan ilmu pengetahuan itu.

“Ini yang saya harapkan, Kursus Turus ini telah membantu anda untuk mencapainya, pengayaan ilmu pengetahuan dan memperluaskan serta mendalamkan lagi, rangkaian persahabatan kamu.”

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz turut menggalakkan para graduan tempatan kursus berkenaan untuk menggunakan segala yang telah mereka pelajari sepanjang kursus itu untuk meningkatkan lagi sumbangan mereka dalam agensi mereka serta memastikan ia selaras dengan agensi-agensi lain.

Beliau yakin bahawa usaha mereka itu akan membantu untuk memastikan integriti kedaulatan dan kekuatan daya tahan negara di mana ia merupakan satu langkah yang amat penting bagi memastikan suasana negara yang stabil, selamat dan kondusif bagi mencapai sasaran Wawasan 2035.

ARTIKEL YANG SAMA