Komuniti ASEAN 2015 satu pencapaian bersejarah

Komuniti ASEAN 2015 satu pencapaian bersejarah

pg01_150808_a

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, penubuhan Komuniti ASEAN 2015 merupakan satu pencapaian bersejarah bagi rantau ini dan satu kemuncak bagi ketahanan serta dinamisme ASEAN sepanjang perjalanannya yang menjangkau hampir separuh abad.

Dalam perutusan sempena Hari ASEAN 2015, Baginda bertitah; “Hari ini kita meraikan 48 tahun penubuhan ASEAN dan sejak penubuhannya, rantau ini telah menyaksikan keamanan dan kemajuan berterusan yang menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran yang kita nikmati masa kini.

“Tahun ini, terutamanya, adalah sangat signifikan kepada kita di rantau ini ketika kita merealisasikan penubuhan Komuniti ASEAN 2015, sebuah komuniti yang menanamkan rasa kekitaan dan identiti dikalangan warganya.”

Titah Baginda, ini telah mewujudkan satu peluang baru yang terus memberi manfaat kepada rakyat kita serta menjadikan mereka lebih rapat antara satu sama lain. “Ia merupakan satu pencapaian bersejarah bagi rantau ini dan satu kemuncak ketahanan serta dinamisme ASEAN sepanjang perjalanannya yang menjangkau hampir separuh abad.

“Bergerak ke hadapan, ASEAN kini sedang berusaha menjayakan Wawasan Komuniti ASEAN Selepas 2015 yang akan menjadi teguh, progresif dan berpandangan jauh bagi generasi depan ASEAN. “Matlamatnya bukan sekadar mengekalkan, tetapi meningkatkan lagi manfaat integrasi serantau; dan seterusnya menyumbang kepada kekukuhannya, serta meneguhkan lagi usaha pembinaan komuniti ASEAN bagi generasi yang akan datang.

“Dalam hubungan ini, kita mengucapkan tahniah kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dalam memberi penekanan kepada komuniti berpaksikan rakyat dengan tema “Orang kita, Komuniti Kita, Wawasan Kita.

“Dengan itu, Beta mengucapkan Selamat Menyambut Hari ASEAN kepada semua orang di ASEAN.”

ARTIKEL YANG SAMA