Komuniti ASEAN berlandaskan tiga tonggak

Komuniti ASEAN berlandaskan tiga tonggak

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Pembentukan Komuniti ASEAN menjelang akhir 2015 harus direalisasi berlandaskan tiga tonggak, iaitu komuniti politik dan keselamatan, komuniti ekonomi serta komuniti sosiobudaya.

Tonggak asas komuniti baru ASEAN itu harus dijalin erat dengan kesepaduan supaya mampu menjamin kestabilan dan keamanan yang berterusan di rantau ASEAN agar komuniti yang berbilang bangsa dan agama itu dapat sama-sama menikmati kemakmuran.

Gagasan itu adalah antara mukadimah ceramah yang disampaikan penceramah undangan, Tan Sri Profesor Dr. Mohd Kamal Hassan pada Seminar Islam dan Komuniti Baru ASEAN yang diadakan di Bangunan Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

Ketika berhujah pada seminar yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASCIS) itu, beliau membincangkan bahawa asas ekonomi, politik dan kebudayaan yang akan dicorakkan oleh Komuniti Baru ASEAN merupakan satu kenyataan yang perlu digarap oleh masyarakat Islam di Asia Tenggara.

Lebih 40 orang pensyarah dan graduan UBD yang hadir juga didedahkan kepada cabaran yang menggugat serta peluang yang diwujudkan oleh masyarakat berbilang kaum dan agama serta berlainan sistem politik yang diamalkan oleh sepuluh negara anggota ASEAN, terutama dalam konteks Islam.

Tan Sri Profesor Dr. Mohd Kamal Hassan menyampaikan ceramah
Tan Sri Profesor Dr. Mohd Kamal Hassan menyampaikan ceramah
Antara yang menghadiri ceramah itu.
Antara yang menghadiri ceramah itu.

Tan Sri Profesor Dr. Mohd Kamal menekankan bahawa masyarakat Islam di negara rantau ASEAN boleh hidup dalam kalangan penganut agama lain dan bekerjasama dengan masyarakat berbilang bangsa secara aman dan harmoni.

Beliau bagaimanapun mengingatkan, sebelum mencapai hasrat untuk mengecap kehidupan dalam Komuniti Baru ASEAN, beberapa kekangan harus ditangani terlebih dahulu.

Menurutnya, antara isu yang harus diberikan perhatian termasuk isu jenayah rentas sempadan, gejala dadah, penyeludupan manusia, pencemaran alam sekitar dan kebebasan media sosial.

Selain itu, masalah keruntuhan moral dan penyakit sosial, jenayah rasuah, kemiskinan dan isu geopolitik negara-negara kuasa besar seperti China, Amerika Syarikat, Jepun dan Rusia juga perlu diambil kira.

Para hadirin turut diajak membincangkan mengenai isu Misi Ketamadunan Islam dan isu berkaitan komuniti Islam di rantau Asia Tenggara sebagai contoh komuniti baru yang memperjuangkan keamanan, keadilan, kesejahteraan, integrasi ilmu pengetahuan serta kecemerlangan moral dan integriti.

Tan Sri Profesor Dr. Mohd Kamal Hassan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya pada 1965 dan telah dianugerahkan Ijazah Sarjana serta Ijazah Doktor Falsafah pada 1975 dari Universiti Columbia.

Semasa di Universiti Columbia, beliau merupakan penerima University of President Fellowship selama empat tahun.

Beliau juga telah menerbitkan beberapa buah buku dan artikel, termasuk penulisannya yang terkenal berjudul ‘The Voice of Islamic Moderation From The Malay World’, ‘The Encyclopedia Of Malaysia: Religions And Belief’, ‘Islamic Identity Crisis in the Muslim Community in Contemporary Malaysia’ dan ‘Islamic Studies in Contemporary Southeast Asia’.

ARTIKEL YANG SAMA