Komuniti India di luar negara diraikan

Komuniti India di luar negara diraikan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Komuniti warga India di luar negara tidak kurang memainkan peranan dalam pembangunan India, oleh itu, Pravasi Bharati Divas (PBD) yang diraikan setiap 9 Januari merupakan sambutan bagi meraikan peranan penting mereka itu.

Di samping itu, PBD merupakan platform bagi warga India yang tidak menetap di India untuk mengetahui mengenai pelbagai pencapaian kerajaan India dalam pelbagai sektor, dasar serta inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Warga India yang menetap di Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan untuk sama-sama meraikan PBD yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam, Sungai Akar, hari ini.

Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Nagma Mohamed Mallick dalam ucapannya di majlis berkenaan berkata, PBD memberikan peluang kepada warga India yang tidak menetap di India (Diaspora) untuk berkongsi pandangan serta meneroka peluang untuk menyumbang kepada kegiatan pembangunan negara di India.

Beliau turut menyatakan bahawa Konvensyen PBD 2017 turut diadakan di Bengaluru, bermula 7 Januari hingga hari ini di mana ia membawa tema Redefining the engagement with the Indian Diaspora, bermatlamat untuk mengukuhkan penglibatan Diaspora dan menyediakan platform bagi penubuhan rangkaian Diaspora, mengenal pasti sumbangan Diaspora kepada India.

Nagma Mohamed Mallick menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.
Nagma Mohamed Mallick menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.
Di antara warga India yang menetap dan berkhidmat di Brunei yang menghadiri majlis berkenaan.
Di antara warga India yang menetap dan berkhidmat di Brunei yang menghadiri majlis berkenaan.

Selain itu, untuk mendengar pendapat dan harapan mereka serta untuk meningkatkan penglibatan belia India luar negara bagi mendapatkan dan membincangkan pelbagai perkara yang relevan kepada mereka.

Di samping itu, Nagma Mohamed Mallick berkata, Konvensyen PBD 2017 juga menyaksikan ucapan khas yang disampaikan oleh presiden India yang juga menyampaikan anugerah Pravasi Bharatiya Samman kepada warga India yang tidak menetap di India bagi pencapaian dan sumbangan mereka kepada India serta warga India di luar negara.

Beliau berkata bahawa bagi 2017, seramai 30 orang warga India yang tidak menetap di India dan warga India yang berkhidmat di luar negara menerima anugerah berkenaan termasuk seorang penerima dari Negara Brunei Darussalam iaitu Presiden Dewan Perniagaan India Brunei dan Pemilik Nazmi Tekstil, Nazeer Ahmad Zakariah.

Selain daripada itu, beliau turut menyatakan bahawa bagi membantu warga India yang mempunyai sebarang masalah ketika berkhidmat di luar negara, Suruhanjaya Tinggi India termasuk di Negara Brunei Darussalam mengadakan Hari Terbuka Suruhanjaya Tinggi sebanyak dua kali sebulan dengan harapan untuk memberikan peluang kepada warga India yang berkhidmat di Brunei menyuarakan sebarang masalah yang dihadapi supaya pihak Suruhanjaya Tinggi India dapat mencari penyelesaian.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa warga India yang berkhidmat di luar negara yang menghadapi masalah boleh mendapatkan bantuan menerusi Tabung Kebajikan Komuniti India yang dikhususkan bagi membantu warga India di luar negara yang memerlukan bantuan semasa berada di luar negara.

Nagma Mohamed Mallick juga mengongsi petikan penting daripada ucapan perdana menteri India semasa Konvensyen PBD 2017, antaranya usaha untuk memastikan suruhanjaya tinggi India dan kedutaan India di seluruh dunia mengambil langkah proaktif mendekati dan membantu warga India yang berkhidmat di luar negara menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi mereka serta juga tindakan yang diambil untuk membanteras kegiatan ejen buruh haram di India.

Di majlis berkenaan, para jemputan yang terdiri daripada warga India yang berkhidmat dan menetap di Brunei berpeluang untuk menyaksikan tayangan video pendek mengenai dengan PBD 2017.

ARTIKEL YANG SAMA