Komuniti India tampil derma darah

Komuniti India tampil derma darah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Kesedaran menderma darah dalam kalangan generasi muda perlu dilakukan secara berterusan bukan saja bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan darah di hospital tapi ia juga untuk menyemai pelbagai nilai positif dalam diri golongan berkenaan.

Kempen derma darah ini merupakan salah satu gaya hidup sihat dan juga salah satu cara menghargai negara ini dengan menolong pesakit-pesakit yang memerlukan darah.

Perkara ini disuarakan oleh wakil dari Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha ketika ditemui pada Kempen Derma Darah anjuran bersama Komuniti India di Brunei yang berlangsung di Sekolah Menengah Berakas, hari ini.

Beliau seterusnya menambah, kempen itu merupakan salah satu cara untuk berbakti kepada negara seterusnya menjadikan menderma darah ini secara tetap di mana setiap penderma boleh membuat pendermaan darah setiap dua bulan sekali dengan menjaga pemakanan yang sihat.

Di samping itu, beliau juga mengingatkan penderma, supaya mengambil makanan sihat sebelum melakukan pendermaan darah selain memperbanyakkan pengambilan makanan yang mengandungi zat besi seperti sayur bayam dan juga daging merah.

Pendaftaran dilakukan sebelum individu menderma darah.
Pendaftaran dilakukan sebelum individu menderma darah.

Sementara itu, Mohamed Lukman bin Mohamed Farook dari Komuniti India di Brunei pula menjelaskan, kempen derma darah ini merupakan kali ke-12 sejak ia mula dilaksanakan pada 2008.

“Kempen ini bukan saja mendapat sambutan daripada warga India di negara ini malahan orang ramai juga tidak melepaskan peluang untuk sama-sama memberi sokongan dalam membantu orang yang memerlukan darah,” tambahnya.

pg10_160919_f

Antara komuniti India di negara ini tampil menderma darah yang berlangsung di Sekolah Menengah Berakas, kelmarin.
Antara komuniti India di negara ini tampil menderma darah yang berlangsung di Sekolah Menengah Berakas, kelmarin.

Beliau seterusnya menyembahkan ucapan terima kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana memberi peluang untuk bekerja di negara ini.

Dengan cara kempen yang diadakan ini, jelasnya, ia merupakan salah satu cara mereka, komuniti India di negara ini, memberi sokongan kepada kerajaan Baginda dengan membantu orang yang memerlukan darah pada saat kecemasan.

Selain mengadakan aktiviti kempen derma darah yang diadakan setiap tahun ini, beliau juga memberitahu bahawa pada masa akan datang, komuniti India di negara ini merancang akan mengadakan kempen membersihkan kawasan pantai.

ARTIKEL YANG SAMA