Komuniti Miriek Sarawak lancar koperasi galak ekonomi

Komuniti Miriek Sarawak lancar koperasi galak ekonomi

MIRI, 22 Nov – Persatuan Jatti Miriek Miri (PJMM), satu daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertua di Sarawak, menubuhkan koperasinya sendiri untuk menggalakkan penyertaan komuniti minoriti itu dalam ekonomi negeri ini.

Ia merupakan peristiwa bersejarah bagi persatuan berusia 34 tahun itu yang ditubuhkan pada 1982 memandangkan ia menggalakkan komuniti Miriek bergiat aktif dalam perniagaan untuk terus meningkatkan lagi tahap ekonomi mereka.

Dalam kenyataan hari ini, presiden PJMM Datuk Abdillah Abdul Rahim berkata koperasi itu ditubuhkan secara rasmi pada Ahad lalu dan dinamakan ‘Koperasi Jatti Miriek Berhad’. Abdillah, yang juga pengerusi penaja koperasi itu, berkata objektif utama pelancaran PJMM adalah untuk mempelbagaikan pendapatan komuniti Miriek di Sarawak.

“Satu daripada syarat untuk menyertai Koperasi Jatti Miriek Berhad adalah mesti menjadi anggota PJMM,” katanya.

Beliau berkata sebagai permulaan, komuniti Jatti Miriek yang tinggal di bandar raya Miri, bandar raya Kuching dan Bintulu boleh memohon menjadi anggota koperasi.

Antara lain, koperasi itu merancang untuk meneroka sektor perkhidmatan.

Jatti Miriek adalah satu daripada komuniti tertua di negara ini dan bertapak di Sarawak kira-kira 200 hingga 300 tahun dahulu.

Perkataan Miri dikatakan berasal daripada perkataan ‘Miriek’, yang populasinya dikatakan berjumlah lebih 10,000 orang, kebanyakannya tinggal di bahagian utara Sarawak dan Brunei. – Bernama