Komuniti perniagaan sambut baik Business Help Desk

Komuniti perniagaan sambut baik Business Help Desk

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Komuniti usahawan kecil dan sederhana (PKS) tempatan serta penggiat dalam industri rangkaian pasar raya di negara ini menyambut baik pelaksanaan Business Help Desk (Meja Bantu Perniagaan), yang mula beroperasi hari ini, dengan keyakinan segala kemusykilan, pertanyaan serta isu mengenai prosedur perniagaan yang mereka hadapi akan terjawab dan mendapat respons segera, sekali gus mampu meningkatkan aktiviti perniagaan sehingga 30 peratus.

Isu berkaitan dengan pengimportan dan urusan kastam, pekerja asing dan perburuhan, prosedur urusan perniagaan dengan semua agensi kerajaan yang dihadapi oleh perniagaan besar serta pengusaha kecil dan sederhana kini bakal mendapat respons dalam tempoh lima hari melalui Business Help Desk.

Seorang usahawan yang menjalan perniagaan pembungkusan biskut dan kek yang telah menjalankan perniagaan Sinah Bisc Bakery secara atas talian sejak 2013, Dayang Hajah Sinah binti Haji Serudin berkata, dengan adanya Business Help Desk itu, usahawan sepertinya kini mempunyai tempat untuk mengadu atau menganjurkan pertanyaan mengenai sebarang masalah atau isu yang mereka hadapi.

“Dengan kehadiran pegawai daripada agensi-agensi kerajaan di Business Help Desk itu maka kini masalah yang kami hadapi seperti untuk mendapatkan tempat untuk mempromosi dan memperagakan produk keluaran kami sekurang-kurangnya akan didengar dan mendapat respons dalam tempoh masa yang cepat dan munasabah,” kata berliau yang hadir bersama adiknya, Dayang Rahimah binti Serudin yang menjalankan perniagaan perabot kayu import bernama Parfum Garden.

Menurutnya lagi, masalah yang beliau hadapi ialah mendapatkan ruang atau tempat untuk mempromosi produk dengan harga yang berpatutan kerana sewa premis yang tinggi sering menjadi beban utama kepada perniagaan sepertinya.

Dayang Sinah dan Dayang Rahimah (kedua dan ketiga dari kanan) bersama rakan usahawan lain di Majlis perasmian Business Help Desk.
Dayang Sinah dan Dayang Rahimah (kedua dan ketiga dari kanan) bersama rakan usahawan lain di Majlis perasmian Business Help Desk.

Pandangan yang sama diberikan oleh Pengarah Urusan syarikat rangkaian pasar raya, Sim Kim Huat, Awang C.K. Lee gembira mengenai penubuhan Business Help Desk itu yang menurutnya dapat menyelesaikan beberapa masalah prosedur dan waktu pemunggahan serta pelepasan kargo di pelabuhan.

Katanya, beliau menyambut baik pelaksanaan Business Help Desk itu kerana usaha Jabatan Tenaga dan Industri, Jabatan Perdana Menteri kerana bidang perniagaan pasar raya sepertinya banyak berurusan dengan agensi kerajaan yang sering kali memakan masa yang panjang untuk diselesaikan.

Dengan adanya khidmat perniagaan seperti itu beliau percaya semua kemusykilan dan isu yang mereka hadapi akan mendapat respons dalam tempoh yang singkat dan ini dijangka dapat meningkatkan pengurusan perniagaan mereka sebanyak 30 peratus.

Katanya khidmat bantuan perniagaan itu merupakan penghubung kepada jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan masalah yang mereka hadapi.

Turut menyediakan khidmat bantuan pada hari pertama operasi Business Help Desk itu ialah Jabatan Buruh, dan Inspektor Buruh, Haji Aserrey bin Haji Md Daud ketika ditanya menerangkan bahawa antara maklumat yang disediakan di Help Desk itu termasuk cara-cara untuk memohon lesen dan prosedur serta tempoh untuk mendatangkan pekerja asing ke negara ini.

Pegawai dari Jabatan Tenaga dan Industri, Jabatan Perdana Menteri, Dayang Nur Sabrina binti Shofry ketika diminta mengulas mengenai khidmat baru itu berkata, Business Help Desk itu ditubuhkan sebagai satu cara bagi jabatannya untuk memahami masalah yang dihadapi oleh komuniti perniagaan tempatan dan mencari jalan penyelesaian terpantas baginya.

“Kami mempunyai sistem yang mana kami mencatat isu yang dihadapi oleh para usahawan dan perniagaan, cuba memahaminya dan mencari penyelesaian terbaik untuknya,” kata beliau.

Beliau memberi jaminan segala isu yang diketengahkan oleh komuniti perniagaan di negara ini akan dianalisis untuk penyelesaian jangka pendek atau memakan masa lebih lama untuk diselesaikan, yang mana penyelesaian jangka pendek akan memakan masa sekitar tiga hingga lima hari untuk menghubungi kembali syarikat terbabit dan mengesyorkan penyelesaian yang terbaik bagi mereka.

Business Help Desk yang berpejabat di Tingkat 1, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Simpang 32-37 Taman Teknologi Anggerek Desa dikendalikan oleh Jabatan Tenaga dan Industri, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan industri perniagaan di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA