Kondogbia milik Inter

Kondogbia milik Inter

MILAN, 24 Jun (AFP) – Pemain kebangsaan Perancis, Geoffrey Kondogbia melengkapkan perpindahan “impian” dari AS Monaco ke Inter Milan, menandatangani kontrak lima tahun bersama kelab Serie A itu selepas menolak tawaran kelab musuh setempat AC Milan pada saat akhir.

“Menjadi sebahagian daripada pasukan hebat ini satu impian menjadi kenyataan. Saya mahu berada di sini selama mungkin,” kata Kondogbia kepada peminat selepas melengkapkan pemeriksaan perubatan kelmarin.

“Ketika kecil saya biasa menonton aksi Inter di TV dan kini saya menyertai kelab besar ini. Saya akan memberikan segala-galanya.”

Pemain Perancis berusia 22 tahun itu, yang menghabiskan dua musim di Monaco selepas berpindah ke kelab Ligue 1 itu dari Sevilla, dijangka meraih 4 juta euro semusim termasuk bonus jika cemerlang.

Monaco dijangka menerima bayaran sekitar 35 juta euro.