Konflik bilik persalinan cetus kebangkitan Perancis

Konflik bilik persalinan cetus kebangkitan Perancis

UEFA-Euro-2016-Logo

LYON, 27 Jun (AFP) – Konflik di bilik persalinan ketika waktu rehat menjadi pencetus kebangkitan Perancis untuk meraih kemenangan ke atas Republik Ireland, kata wira Les Bleus yang meledak dua gol, Antoine Griezmann.

“Kami mengharungi separuh masa pertama yang tidak baik tetapi beberapa perkara diperkatakan ketika rehat,” kata Griezmann yang membantu kemenangan tuan rumah itu selepas ketinggalan menerusi penalti Robbie Brady hanya 90 saat permainan apabila Shane Long dikasari Paul Pogba.

“Ia seperti ribut,” kata penyerang Atletico Madrid itu yang meledak dua gol dalam tempoh empat minit pada babak kedua.

“Pada separuh masa kedua, kami lebih kepada pasukan yang mahu berjuang sehingga penamat.”

Griezmann berkata penalti yang juga menjadi gol kedua terpantas dalam sejarah EURO, telah meningkatkan semangat Perancis.

“Kami semua menjerit antara satu sama lain selepas penalti dan kami tahu bahawa kami perlu bermain lebih baik,” katanya.

Griezmann menghidupkan kembali peluang Perancis apabila meledak gol penyamaan sebelum menyumbang gol kedua untuk membawa pasukannya ke suku akhir dan akan berdepan sama ada England atau Iceland.

“Saya boleh meninggikan suara ketika rehat,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps. “Kami perlu mengekalkan ketenangan di beberapa bahagian, tetapi juga perlu mengasak sedikit.

“Semua pemain terbabit, beberapa daripada mereka berada di atas padang, bercakap berkenaan peranan mereka.”

ARTIKEL YANG SAMA