Konflik Palestin & Israel perlu diselesaikan

Konflik Palestin & Israel perlu diselesaikan

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu terus memainkan peranan utama dalam merealisasikan penyelesaian dua negara Palestin dan Israel, kata Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Ramlan Ibrahim.

Beliau berkata Malaysia juga percaya bahawa sudah tiba masanya untuk masyarakat antarabangsa dan Majlis keselamatan menerajui dan menamatkan status quo dalam Wilayah Diduduki Palestin (OPT).

“Majlis itu perlu mencari usaha kolektif untuk memikul tanggungjawab piagamnya dalam menyelesaikan konflik yang berpanjangan yang seusia dengan organisasi itu sendiri,” katanya ketika berucap semasa debat terbuka suku tahun Majlis Keselamatan mengenai Timur Tengah di New York semalam.

Beliau berkata keadaan di Gaza tidak harus dilihat secara berasingan daripada isu yang lebih besar mengenai kependudukan dan cubaan oleh pihak yang mempunyai kuasa untuk mengukuhkan kawalan terhadap OPT itu.

Beliau berkata, 11 tahun telah berlalu sejak Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberikan pendapat nasihat sebulat suara mengenai pembinaan tembok pemisah Isreal atau ‘Dinding Apartheid’, yang tidak mengikut undang-undang.

Perwakilan Tetap Malaysia ke Duta PBB, Datuk Ramlan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat bersama Perwakilan Tetap Diraja Hashem dari Jordan ke Duta PBB, pengerusi bersama, Dina Kawar. – Bernama
Perwakilan Tetap Malaysia ke Duta PBB, Datuk Ramlan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat bersama Perwakilan Tetap Diraja Hashem dari Jordan ke Duta PBB, pengerusi bersama, Dina Kawar. – Bernama

Bagaimanapun, menurut Ramlan pendapat ICJ itu secara terang-terangan terus tidak diendahkan Israel dan sehingga kini tiada pampasan diberikan kepada mereka yang terlibat dengan pembinaan berterusan sistem dinding dan pagar berkenaan.

“Oleh itu, kami menyeru masyarakat antarabangsa dan Majlis ini untuk mencari keazaman politik bagi menghentikan keadaan ini yang mendorong Palestin dan Israel semakin jauh daripada penyelesaian dua negara serta memastikan api permusuhan antara kedua-duanya akan padam,” katanya.

Malaysia juga percaya bahawa inisiatif baharu seperti Resolusi Majlis Perancis yang bercadang untuk menghidupkan kembali Proses Damai Timur Tengah, perlu diberikan pertimbangan serius, katanya. – Bernama