Konflik Timur Tengah dikhuatiri terjadi di ASEAN

Konflik Timur Tengah dikhuatiri terjadi di ASEAN

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) – Indonesia melahirkan kebimbangan konflik kemanusiaan seperti di Timur Tengah akan berlaku di ASEAN, jika kestabilan dan keamanan di rantau ini tidak dipelihara dan dijaga setiap negara anggota.

Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu berkata lantaran itu, komitmen negara anggota ASEAN dituntut melalui penyertaan bersama dalam perbincangan secara berterusan bagi memelihara keamanan serantau.

“Bagaimana ingin (dapat) tinggal di negara sendiri jika keamanan tidak ada? Lihatlah apa berlaku di Timur Tengah hingga rakyatnya terpaksa keluar atau diusir keluar ke negara lain kerana konflik kemanusiaan.

“Ini tidak boleh terjadi di rantau ASEAN. Apabila tidak aman, akan timbul banyak masalah seperti kematian, penyakit, kapal yang membawa pelarian tenggelam dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Pemukiman Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Subang, dekat sini hari ini.

Ryamizard menarik perhatian setiap negara ASEAN perlu mendukung dan mendahulukan prinsip kesejahteraan rakyat untuk terus meniup benih-benih keamanan dan keyakinan kepada sesebuah kerajaan yang memerintah.

Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar (kiri sekali) dan Ryamizard Ryacudu (tiga kiri) bersama Menteri-menteri Pertahanan ASEAN yang lain ketika menghadiri ADMM di Subang, dekat Kuala Lumpur kelmarin. – Bernama
Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar (kiri sekali) dan Ryamizard Ryacudu (tiga kiri) bersama Menteri-menteri Pertahanan ASEAN yang lain ketika menghadiri ADMM di Subang, dekat Kuala Lumpur kelmarin. – Bernama

Fungsi sesebuah kerajaan adalah mendahulukan rasa aman kepada rakyatnya dan jika rakyat tidak merasainya, maka mereka akan berhijrah ke negara lain, katanya.

Beliau berkata oleh itu, perbincangan berterusan bagi memelihara dan menjaga keamanan ASEAN membolehkan semua masalah dihadapi di rantau ini diselesaikan dengan cepat.

Ditanya mengenai tindakan Amerika Syarikat menggunakan alasan ‘Freedom of Navigation’ bila kapal perangnya belayar di Laut China Selatan baru-baru ini, Ryamizard berkata mana-mana kapal bebas untuk belayar namun tidak harus ke kawasan yang menimbulkan masalah.

Kapal tersebut melalui satu jalur wilayah di Laut China Selatan yang mengandungi Kepulauan Spratly yang menjadi tuntutan bertindih oleh China, Taiwan, Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam.

ADMM ialah mekanisme tertinggi perbincangan dan kerjasama dalam ASEAN mengenai perkara-perkara berkaitan pertahanan.

ASEAN dianggotai 10 negara iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Lapan rakan dialog dalam ASEAN Campur ialah Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.